PM gerak langkah redakan kemarahan peneroka Felda


Yasmin Ramlan Bede Hong

Perdana Menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor tertawa ketika menghadiri sambutan Hari Peneroka Felda di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Julai, 2017.

LEBIH 94,000 peneroka Felda akan menerima RM5,000 bayaran insentif pada bulan depan, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Ia salah satu daripada enam insentif untuk peneroka Felda yang diumumkan Najib kepada seramai 50,000 pengunjung termasuk 25,000 peneroka yang hadir dari 11 wilayah seluruh negara hari ini.

Beliau berkata insentif itu mencerminkan keikhlasan kerajaan terhadap peneroka sedia ada di negara ini, sambil mengimbas semula jasa kerajaan terhadap penduduk Felda dalam menaik taraf hidup mereka selama ini.

“Bayaran insentif khas peneroka bernilai RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka Felda yang layak, dengan jumlah peruntukan RM474.78 juta, di mana pembayaran akan mula dibuat pada penghujung Ogos 2017,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2017 peringkat kebangsaan di Putrajaya hari ini.

Insentif pertama diumumkan Najib itu ialah pelupusan tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda melibatkan peruntukan RM519 juta.

“Sebenarnya terlalu banyak insentif yang kerajaan berikan kepada peneroka dan generasi baharu Felda.

“Warga Felda ini juga dijaga dengan baik dan sempurna bagai menatang minyak yang penuh,” katanya.

Insentif kedua ialah kelulusan lebih satu unit rumah di dalam satu tapak.

Katanya, sehingga kini terdapat 4,711 peneroka yang mempunyai dua rumah di dalam satu tapak, manakala 70,506 tapak rumah lagi dipercayai sesuai untuk dilaksanakan mengikut kaedah ini.

“Bagi mengatasi masalah rumah generasi baharu Felda pula, Felda dan kerajaan negeri akan bekerjasama bagi meluluskan permohonan pembinaan rumah lebih daripada satu unit di atas satu tapak.

“Kos pembiayaan rumah melalui pembiayaan sendiri,” katanya.

Najib berucap di depan hadirin ketika hujan lebat dan menerima sorakan tetamu apabila mengumumkan insentif itu.

Insentif ketiga ialah dana khas pelupusan lebihan hutang tanam semula.

Sebanyak RM300 juta akan diwujudkan untuk dana khas itu bagi tempoh lima tahun bermula 2017 hingga 2021 bagi melupuskan hutang kos operasi melebihi jangkaan RM40,000.

“Ini bermakna, jika hutang bagi kos operasi tanam semula RM60,000, sebanyak RM20,000 akan dilupuskan menggunakan peruntukan dana khas ini menerusi penilaian berdasarkan permohonan yang dihantar dan diluluskan jawatankuasa di peringkat Felda,” katanya.

Insentif keempat ialah pelupusan sebahagian baki pinjaman saham FGV yang sehingga kini seramai 77,934 peneroka sedang membayarnya.

Manakala bagi 1,626 peneroka yang selepas membayar habis pinjaman pula, mereka akan menerima ganjaran tunai RM1,820.

“Ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM128.10 juta. Bagi peneroka yang tidak pernah membuat sebarang bayaran pinjaman saham FGV kepada Felda, tidak akan menerima insentif ini,” katanya.

Insentif berikutnya geran khas tanam semula peneroka diluluskan MPOB pada Felda dengan kadar RM7,500 per hektar akan diwujudkan bagi program tanam semula Felda bermula 2017 hingga 2020 melibatkan 24,280.31 hektar dengan peruntukan RM166.60 juta untuk empat tahun berkenaan.

“Jelas sekali, kewujudan Felda merupakan salah satu kejayaan besar kepada rakyat, khususnya peneroka di seluruh negara kerana nikmat kemunculan Felda ini memberi impak positif kepada kawasan sekitarnya yang turut merasai tempias pembangunan pesat kawasan rancangan Felda.

“Pada hemat saya, kejayaan Felda ini sebenarnya bukan milik mana-mana individu, sebaliknya ia kejayaan milik kita bersama.

“Tiada siapa yang boleh kacau Felda…tiada siapa yang boleh mengganggu-gugat keluarga besar Felda.

“Kerajaan tidak akan sesekali berganjak daripada terus membela dan memperjuangkan nasib warga Felda,” katanya.

Felda ditubuhkan perdana menteri kedua yang juga bapa Najib, Abdul Razak Hussein. Felda dipuji di seluruh dunia kerana berjaya mengurangkan kemiskinan di kalangan petani yang tidak mempunyai tanah Malaysia.

Pada 2012, pentadbiran Najib membenarkan FGV mengambil alih 335,000 hektar ladang Felda.

FGV bagaimanapun dikritik hebat sejak ia disenaraikan di pasaran saham Malaysia pada Jun 2012.

Pada 2015, ia membatalkan rancangan membeli 37% kepentingan dalam syarikat minyak sawit PT Eagle High Plantations pada nilai pasaran lebih tinggi berikutan bantahan daripada pemegang saham.

Baru-baru ini Felda terpalit pelbagai kontroversi termasuk membabitkan bekas pengerusi FGV Isa Samad yang dikaitkan dengan dakwaan salah guna kuasa. – 23 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen