PKR tetap kukuh walau wujud dua kem, kata Johari Abdul


Mohd Farhan Darwis

Naib Presiden PKR Johari Abdul berkata kem berbeza sudah lama wujud dalam PKR tetapi perpecahan tidak akan berlaku kerana ahli menyedari pentingnya berpadu sebagai sebuah parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2018.

KEWUJUDAN dua blok menyokong calon berbeza untuk jawatan tertinggi PKR bukanlah petanda krisis kerana parti memang mempunyai kem berbeza selama ini, kata Naib Presiden Johari Abdul.

Johari yang juga ahli Parlimen Sungai Petani berkata sepanjang pengalamannya dalam politik selama 20 tahun, PKR dapat terus bertahan walaupun mempunyai kelompok berbeza dalam parti kerana ahli menyedari kepentingan untuk terus bersatu walaupun berbeza pandangan.

“Kami berlawan satu sama lain sejak 20 tahun lalu tetapi tiada apa yang berlaku. Kami bukan seperti parti lain yang bertelagah dan kemudiannya berpecah,” katanya.

Jelasnya, PKR tidak akan mengalami nasib seperti Barisan Nasional (BN) yang bertelagah dan berpecah selepas pilihan raya umum 9 Mei.

“Tidak dalam PKR, kami bertelagah bertahun-tahun tetapi masih OK. Apa pun keputusannya kami tetap teguh,” katanya ketika ditemui di Parlimen semalam. 

Beliau yang bersama-sama barisan kepimpinan penyokong calon timbalan presiden Rafizi Ramli berkata, kewujudan dua kem itu hanyalah proses pemilihan kepimpinan terbaik.

Johari berkata, dengan kewujudan kem mereka juga akan menjadi lebih terkawal memandangkan pemilihan itu melibatkan jumlah pengundi yang besar.

“Kita tidak ada perwakilan (sebaliknya) 800,000 ahli akan mengundi. Jadi kamu perlu ada pasukan, kita boleh kawal apa yang diperkatakan. Kalau terbuka untuk semua susah,” katanya.

Tambahnya, pasukan “20 tahun Reformasi” yang disertainya juga akan menjelajah ke seluruh negara untuk berkempen.

Selain Johari, turut dinamakan sebagai calon naib presiden dalam kem Rafizi ialah tiga lagi ahli Parlimen iaitu Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh), William Leong (Selayang) dan S Kesavan (Sungai Siput).

Turut menyokong Rafizi sebagai timbalan presiden adalah calon ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir sebagai calon jawatan ketua pemuda PKR.  

Di kem Azmin, antara tokoh PKR yang tampil menyatakan sokongan terbuka untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden adalah Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin.

Shamsul Iskandar yakin Azmin akan menjadi timbalan yang hebat di sisi Anwar, yang setakat ini menjadi calon tunggal merebut jawatan presiden.

Azmin bagaimanapun masih belum membuat pengumuman sama ada akan mempertahankan jawatannya, atau bertanding kerusi presiden menentang Anwar. – 31 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen