Zakir Naik batal hasrat untuk muncul di Kelantan


Perkasa baru-baru ini menyampaikan anugerah Bintang Pahlawan kepada pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2017.

PENCERAMAH Zakir Naik membatalkan hasrat untuk muncul dalam satu perhimpunan sarjana muslim di Kelantan hari ini, katanya atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

PAS yang merupakan penganjur Persidangan Antarabangsa Perpaduan Ummah di Kota Bharu berkata pihaknya diberitahu mengenai perkara itu menerusi sepucuk surat yang dikirim Zakir Naik.

“Beliau tidak dapat hadir atas alasan yang tidak dapat dielakkan. Beliau turut memohon maaf kerana tidak dapat emmenuhi undangan itu,” kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Tambah Tuan Ibrahim slot yang sepatutnya diisi Zakir yang dijadualkan hari ini akan diganti dengan speaker lain.

Pada Rabu, kerajaan India membatalkan pasport milik pendakwa Islam Zakir Naik, berikutan cadangan yang dibuat Agensi Penyiasatan Antarabangsa (NIA) negara itu.

Pembatalan yang dibuat pejabat pasport negeri Mumbai itu menjadikan Zakir orang tanpa kerakyatan, menurut laporan Times of India.

NIA mendakwa Zakir di bawah Akta Aktiviti Menyalahi Undang-Undang (Pencegahan) kerana dikaitkan dengan pengganas selepas ceramahnya didakwa menghasut belia untuk melakukan keganasan.

Zakir dilaporkan menjelajah beberapa negara antaranya Arab Saudi dan Malaysia serta beberapa negara lain selepas meninggalkan India tahun lalu namun pembatalan pasportnya kini mengehadkan pergerakannya,” kata pihak berkuasa.

Selain membatalkan pasportnya, NIA turut menghantar dokumen bulan lalu untuk mendapatkan perintah Notis Merah Interpol terhadap Zakir. Notis Merah terbabit adalah bagi memohon anggota Interpol menahan orang dikehendaki dan mengekstradisinya e negara yang memohon notis itu. – 22 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen