Pemimpin kata demokrasi sihat, tetapi ahli PKR bimbang parti berpecah


Mohd Farhan Darwis

Keputusan Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden menggantikan Dr Wan Azizah Wan Ismail membuatkan persaingan sengit wujud dalam parti menjelang pemilihan September ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2018.

WALAUPUN pemimpin PKR menafikan pemilihan parti petanda perpecahan dalam parti tetapi merupakan amalan demokrasi sihat, masih wujud kebimbangan dalam kalangan akar umbi parti.

Mereka bertambah keliru apabila Naib Presiden Rafizi Ramli yang bertanding kerusi timbalan presiden semalam mengumumkan barisan pasukannya untuk pemilihan parti September ini.

Ada juga yang melihat pertandingan dalam pemilihan ini bukanlah soal reformasi tetapi survival politik pemimpin yang terlibat.

“Susah nak tentukan kepimpinan bila pemimpin atasan bertelagah seperti ini, akar umbi pun pening,” kata Razir Isnin, 34, penyokong PKR dari Pandan, Kuala Lumpur.

Pasukan Rafizi dengan slogan Reformasi 20 Tahun itu membariskan sebahagian besar ahli Parlimen PKR yang tidak berjawatan dalam kerajaan, kecuali Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh yang bertanding jawatan ketua Wanita.

Rafizi dalam ucapannya semalam berkata, pasukannya mahu mengembalikan PKR ke landasan asal perjuangan reformasi, selain memastikan bakal presiden PKR Anwar Ibrahim mempunyai pasukan mantap untuk mendukung penuh kepimpinan beliau dalam parti dan kerajaan apabila jadi perdana menteri.

Pakatan Harapan bersetuju untuk Anwar sebagai calon perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad. Anwar tidak dicalonkan sebagai perdana menteri dan tidak bertanding pilihan raya umum 9 Mei kerana masih menjalani hukuman penjara ketika itu.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali setakat ini belum mengumumkan pendiriannya mempertahankan jawatan atau mencabar Anwar yang sudah menawarkan diri untuk jadi presiden, menggantikan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Rafizi juga mengumumkan mahu menyelamatkan PKR daripada budaya feudal dan imbuhan wang ringgit dan jawatan, yang katanya bercanggah dengan semangat reformasi.

Keputusan Rafizi Ramli mengumumkan barisan pasukannya semalam dibimbangi akar umbi akan memecahbelahkan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2018.

Akar umbi PKR bagaimanapun melihat tindakan Rafizi kerana pasukannya tidak dibarisi menteri persekutuan, tidak ada jawatan atau sumber kewangan.

“Mereka tiada duit kemudian kata tawarkan keihlasan dalam perjuangan, sebenarnya masing-masing tiada apa hendak ditawarkan.

“Isunya sekarang survival. Kalau nak tahu ini kem Invoke, lagi satu kem kartel. Kem kartel lagi ramai,” kata Rahim Sitih, seorang lagi penyokong PKR merujuk kepada pasukan penyokong Azmin.

Rahim yang mengaku menyokong Rafizi berkata kedua-dua pasukan ini bukannya bertelagah cuma masing-masing mahu mengangkat calon presiden.

“Sungguhpun ada perebutan, dua kartel ini tak nampak berbalah…tapi cuma nampak kumpulan mana yang nak memartabatkan calon presiden (Anwar),” katanya.

Beliau bagaimanapun turut bimbang perpecahan akan berlaku dalam parti.

“Perpecahan akan berlaku…masa kempen mereka (calon) ini cakap berdegar-degar tapi nanti lepas pemilihan mulalah berpecah, di peringkat pusat pecah dua, ini dalam ini (dewan) pun ada kem kecil-kecil,” katanya.

Seorang penyokong PKR dari Perak yang hanya mahu dikenali sebagai Kumar sebaliknya melihat pertembungan dalam pemilihan parti baik untuk menguji kematangan parti.

“Ini bagus, baru pertandingan sihat. Bukan macam Umno. Tahan, tahan orang lain bertanding kemudian lingkup.

“Bila ada pertandingan orang akan buat betul-betul, baru ada calon yang bagus,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui sukar untuk Rafizi memenangi pertandingan merebut jawatan timbalan presiden.

“Saya harap Azmin tanding jawatan presiden, biar dia (karier politik) mati terus,” katanya, yang tidak yakin menteri hal ehwal ekonomi itu boleh mengatasi Anwar.

“Tapi kalau dia kekal (bertanding) timbalan presiden akan ada pertandingan sengit kerana dua-dua ada penyokong masing masing, mungkin 50-50,” katanya lagi.

PKR membuka pencalonan bagi pemilihan jawatan pusat pada 5 Ogos ini dan pemilihan akan berjalan antara 14 September hingga 7 Oktober secara berperingkat mengikut negeri. – 30 Julai, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • diharapakn pertandingan yang sengit antara calon2 PKR itu tidak menjadi isu yang besar sebaliknya ianya lebih kepada pertandingan yang sihat dan tidak timbul pergaduhan sesama sendiri

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan