Jomo minta sokong Dr Mahathir bangunkan projek kereta nasional baharu


Rancangan perdana menteri itu merupakan antara usaha untuk memperbanyakkan sektor perindustrian maju di negara ini, kata Ahli Majlis Penasihat Kerajaan Jomo Kwame Sundaram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2018.

AHLI Majlis Penasihat Kerajaan Prof Jomo Kwame Sundaram menyarankan agar hasrat Dr Mahathir Mohamad untuk membangunkan projek kereta nasional baharu diberi perhatian.

Beliau dipetik dalam laporan Berita Harian sebagai berkata, rancangan perdana menteri itu merupakan antara usaha untuk memperbanyakkan sektor perindustrian maju di negara ini.

“Kita harus mempertimbangkan cadangan perdana menteri untuk memperbaharui komitmen dalam memperbanyakkan perindustrian lebih maju di negara ini.

“Sebagai contoh, Geely (syarikat China yang memiliki Proton) perlu dipujuk untuk bekerjasama dengan Proton dalam menjadikan negara ini sebagai hab eksport utama mereka bagi pengeluaran kereta saiz sederhana,” katanya.

Pakar ekonomi itu menjelaskan, ia akan dapat merealisasikan hasrat Dr Mahathir sejak tahun 1990-an untuk membangunkan kereta elektrik, lapor akhbar itu lagi.

Menurutnya, ia akan dapat memenuhi keperluan global untuk menangani isu pemanasan global dan pencemaran udara dari penggunaan bahan api.

Katanya lagi, cabaran utama pembuatan kereta Malaysia selama ini adalah membina enjin tradisional tetapi ia tidak lagi wujud dalam penghasilan kereta elektrik.

Jomo turut berkata, saranan itu berdasarkan perubahan dunia waktu ini yang mengutamakan pertimbangan ke atas perkara yang berkeupayaan dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa di masa depan.

“Rakyat Malaysia menghargai pelaburan yang mana mampu menyumbang kepada perkembangan negara, contohnya dalam teknologi telekomunikasi 5G, aplikasi kecerdasan buatan, teknologi kewangan baharu, tenaga diperbaharui, perubahan baharu dan kenderaan elektrik,” katanya.

Rancangan untuk menubuhkan syarikat pengeluaran kereta nasional baharu itu diumumkan Dr Mahathir semasa Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di Jepun, Jun lalu.

Hasrat serupa disuarakannya lebih setahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dalam sebuah forum di Kuala Lumpur. 

Idea itu tidak mendapat sambutan sehingga Dr Mahathir dalam tulisan di blognya merakam kekecewaan kerana pasaran kereta Malaysia kini dibolot pengeluar kenderaan luar negara dan Proton menjadi milik asing.

Katanya Malaysia harus melupakan cita-cita hendak untuk menjadi negara maju kalau tidak mahu menjayakan idea tersebut selepas projek Proton dikatakan gagal

Kalau tidak jadi negara maju termasuk mewujudkan industri automotifnya sendiri, biarlah saja Malaysia jadi “negara pengguna, negara penanam padi, pemancing ikan”, menurutnya lagi. 

Perdana menteri hari ini mengumumkan untuk mengkaji semula Dasar Automotif Nasional bagi memastikan industri tersebut kekal kompetitif. – 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • saya menyokong sepenuhnya hasrat Tun Mahathir untuk mengkaji semula Dasar Automotif Nasional bagi memastikan industri tersebut kekal kompetitif

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan