Melayu ‘pendatang’, Kula minta maaf


Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran hari meminta maaf kepada sesiapa yang disakitinya susulan kenyataan dilaporkan Utusan Malaysia mendakwa beliau menuduh orang Melayu sebagai pendatang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2018.

MENTERI Sumber Manusia M Kula Segaran meminta maaf kepada sesiapa yang tersinggung kerana kenyataannya mengenai sejarah orang India dan Melayu dalam ucapan minggu lepas.

“Ucapan dan kata-kata adalah ibarat sesumpah, dan kadang kala membawa makna yang berbeza dalam bahasa yang berbeza, seperti ucapan saya dalam Bahasa Tamil itu,” katanya. 

“Bagi mengelak daripada isu kenyataan saya dalam acara di Nilai minggu lalu itu terus melarat berlanjutan, saya membuat keputusan untuk memohon maaf dan menarik-balik kenyataan terbabit bagi mengelak kontroversi itu menjadi lebih buruk.

“Saya mohon maaf jika telah mencetuskan sebarang rasa tidak senang,” katanya lagi. 

Permintaan maaf itu dikeluarkan selepas beliau pada mulanya mendakwa kenyataannya diputar belit akhbar Utusan Malaysia bertujuan mencetuskan provokasi perkauman.

Dalam ucapannya di sebuah kuil Hindu, Kula bercakap tentang sejarah panjang orang India dan agama Hindu di Tanah Melayu dan menggunakan perkataan “pendatang”.

Utusan melaporkan beliau sebagai berkata orang Melayu adalah pendatang di negara ini dan orang asal sebenarnya adalah mereka yang mengamalkan ajaran Hinduism.

“Kenyataan ini telah disalahtafsir sehingga mengandaikan bahawa saya telah menggunakan istilah ‘pendatang’ dengan merujuk kepada mereka yang tidak senang dengan penggunaan kata itu terhadap mereka.

“Saya justeru memohon maaf atas sebarang rasa tidak senang yang telah saya cetuskan, dan menarik-balik rujukan yang menyakitkan hati tersebut dalam ucapan spontan terbabit,” kata ahli Parlimen Ipoh Barat yang juga naib pengerusi DAP kebangsaan itu.

Beliau menambah yang beliau akan sentiasa patuh kepada Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kedudukan istimewa orang Melayu.

“Saya bukan dan tidak pernah menjadi seorang yang kontroversial dalam isu berkait kaum dan agama dalam negara kita ini, dan akan sentiasa menghormati apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Sementara itu, Pemuda Umno Pulau Pinang akan membuat laporan polis terhadap menteri itu dan menggesa siasatan dilakukan ke atas kenyataan itu. – 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen