Kula nafi sebut Melayu sebagai pendatang


Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran menafikan bahawa beliau menyifatkan orang Melayu sebagai pendatang di Malaysia seperti dilaporkan Utusan Malaysia semalam.

Beliau mendakwa, kenyataan beliau diputar belit akhbar tersebut untuk menimbulkan ketegangan kaum.

“Surat khabar Umno (Utusan Malaysia) menyiarkan artikel berita berusur fitnah dan sengaja memainkan isu perkauman, rasis dan propaganda tentang pandangan saya terhadap sejarah Malaysia.

“Ini adalah satu fitnah dan pembohongan. Saya tidak pernah berkata begitu. Ia diputarbelitkan tanpa latar atau konteks yang sebenarnya,” kata Kulasegaran dalam kenyataannya.

Laporan Utusan menyebut, Kulasegaran mendakwa Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu.

Laporan tersebut juga difahamkan dikongsi dengan meluas di laman sosial dan juga aplikasi perbualan semalam, sehari sebelum pembangkang mengadakan perhimpunan bersama NGO pro-Melayu dan Islam, hari ini.

Dalam penjelasannya, Kulasegaran menjelaskan bahawa ucapannya di satu majlis agama Hindu di Nilai minggu lalu merupakan gesaan agar masyarakat tidak lagi menuduh sesuatu kaum sebagai pendatang.

“Dalam majlis berbahasa Tamil itu, saya tidak menyebut sama sekali tentang orang Melayu. Sudah tentu tuduhan kononnya saya mengatakan orang Melayu adalah pendatang merupakan fitnah dan pembohongan semata-mata.

“Apa yang saya jelaskan dalam majlis itu adalah orang India telah berada di Tanah Melayu sejak 2,500 tahun lalu. Agama Hindu dibawa oleh orang India ke Tanah Melayu. 

“Hasil penemuan arkeologi di kawasan Lembah Bujang, terutamanya penemuan Sungai Batu, di Kedah telah membuktikan hal ini,” katanya.

Oleh itu, tidak adil jika masyarakat India digelar sebagai pendatang disebabkan faktor sejarah itu, tegasnya.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu juga menjelaskan agama Hindu merupakan agama anutan penduduk awal di Tanah Melayu dan Nusantara dan seterusnya, ajaran Buddha pula dikembangkan.

“...Sehinggalah Islam dibawa ke rantau ini dan menjadi popular pada abad ke-15,” katanya yang menambah, pelbagai kaum berhijrah ke serata negara termasuk Tanah Melayu, India dan China.– 28 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen