PRK Sg Kandis akan tentukan laluan PAS, Umno


Melati A. Jalil

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata keputusan PRK Sg Kandis akan menjadi penentu hala tuju masa depan kerjasama Umno dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2018.

KEPUTUSAN pilihan raya kecil (PRK) yang pertama sejak pilihan raya umum 9 Mei akan menentukan hala tuju masa depan kerjasama antara Umno dan PAS, kata wakil rakyat Amanah, Khalid Samad.

Khalid berkata PRK Sg Kandis juga akan menjadi medan ujian pertama untuk melihat sejauh mana kerjasama Umno-PAS dapat melawan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, Bersatu, Amanah dan DAP.

“Jika mereka boleh menang (Sg Kandis) kerana pengundi Melayu yang membentuk 70% di kawasan itu, terpengaruh dengan kempen Lokman Noor Adam yang mencetuskan nasionalisme dan perkauman, penyatuan itu akan dapat mencabar PH pada masa depan.

“Hubungan antara PAS dan Umno akan diperkukuh,” katanya yang juga pengarah komunikasi Amanah, pada satu program ceramah di Bandar Putera semalam, ketika berkempen untuk calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau mengulas tentang pemimpin PAS yang secara terbuka isytihar sokongan kepada Lokman yang juga calon Umno pada PRK itu.

Pada PRU14, undi Melayu terpecah tiga antara Barisan Nasional (BN), PKR dan PAS di kawasan itu.

Hampir 35% hingga 40% pengundi Melayu memilih BN, selebihnya 30%-33% sokong PAS, dan baki 25%-30% menyokong PH, menurut data Merdeka Centre.

Datanya menunjukkan bahawa walaupun BN dan PAS menawan sejumlah besar undi Melayu, pada kadar 70%-75%, kebanyakan orang Melayu di negeri-negeri maju di pantai barat seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan menyokong PH, membolehkan pembangkang pada ketika itu menawan tiga negeri berkenaan.

Khalid yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata, Umno dan PAS menggunakan modus operandi yang sama dengan memainkan isu agama dan kaum dalam menyerang kerajaan PH.

Salah satu tuduhan utama terhadap PH ialah suara dominan dalam gabungan itu ialah bukan Melayu dan mereka akan mengambil alih negara ini, katanya.

“Semua orang faham bahawa Malaysia ialah negara majoriti Melayu Islam dan apa yang kami mahu iala gabungan antara Melayu Islam dan bukan Islam kerana kita semua rakyat Malaysia dan kami akan memerintah negara ini secara adil.

“Hujahan mereka yang Melayu akan terpinggir di bawah kerajaan PH, bukan Melayu akan perintah negara. Mereka guna isu perkauman untuk membiarkan Melayu dan bukan Melayu berpecah antara satu sama lain.”

Khalid berkata tujuan menggunakan naratif itu ialah mahu menanamkan rasa takut dalam kalangan orang Melayu.

“Kita perlu tunjuk kepada mereka bahawa isu perkauman tidak lagi relevan kerana apa yang penting ialah isu keadilan, kos sara hidup, rasuah, salah guna kuasa.

“Selama ini mereka nafi (kerjasama itu) tetapi sekarang sudah jelas memang wujud kerjasama. Kita akan melawan PAS-Umno.”

Bagaimanapun katanya, ahli PAS yang tidak menyokong perkembangan terbaru itu boleh menzahirkan kekecewaan mereka dengan tidak mengundi BN.

“Jika mereka mahu mengakhiri gabungan Umno dan PAS, mereka tidak sepatutnya menyokong calon Umno yang disokong oleh PAS di PRK Sg Kandis,” katanya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai.

Pada PRU14, Shuhaimi memperoleh undi 23,998 menewaskan calon BN Kamaruzzaman Johari (11,518) dan Yusof Abdullah daripada PAS (7,573). Calon PRM Hanafiah Husin hanya mendapat 76 undi daripada 50,800 yang keluar mengundi.

Zawawi (PKR) berdepan Lokman (BN) dan K. Murthy (calon bebas) pada PRK itu. Hari mengundi ditetapkan pada Sabtu ini. – 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen