Laporan akhir MH370: Siapa akan dipertanggungjawabkan?


Melati A. Jalil

Seorang waris penumpang pesawat MH370 kelihatan pada satu majlis memperingati kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu pada Mac lalu di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2018.

APABILA Putrajaya mengeluarkan laporan penuh dan akhir tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hari ini, semua mata akan tertumpu pada persoalan yang tiada sesiapa jawab sepanjang empat tahun lalu sejak kehilangan pesawat itu.

Malah, waris penumpang sudah pun mempertikaikan sama ada, mana-mana agensi didapati bersalah dan mengapa lapan hari dihabiskan dengan mencari di kawasan yang salah.

Jika tiada jawapan di mana pesawat itu dan insan kesayangan mereka pada masa ini berada, paling tidak pun keluarga mangsa mahu tahu siapa yang akan dipertanggungjawabkan atas kelewatan dan kekeliruan selepas pesawat itu hilang hubungan dengan menara kawalan dan hilang daripada radar.

Keluarga juga membantah keputusan kerajaan untuk mengakhiri pencarian pesawat itu.

Di bawah ini kita mengingat kembali apa yang diketahui setakat ini.

Bagaimana MH370 hilang

MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada 00:4 pagi, 8 Mac, 2014 dengan 239 penumpang dan anak kapal.

komunikasi terakhir antara juruterbang dan menara kawalan udara Kuala Lumpur berlaku pada 1:19 pagi dengan kata-kata ini dari kokpit: “Selamat malam, 380 Malaysia”.

Selepas itu, pesawat berkenaan menuju ke destinasinya tetapi berpatah balik ke selatan di Vietnam, kira-kira 38 minit selepas berlepas. Ia merentasi semenanjung dan dikesan oleh radar tentera berada di atas pulau kecil di Pulau Perak di Selat Melaka.

Ketika berpusing balik itu, menara kawalan udara Vietnam gagal menghubungi rakan sejawat di Kuala Lumpur lebih awal tentang di mana MH370 selepas ia tidak berkomunikasi dengan Ho Chi Minh. Sementara itu, pengawal MAS tersilap melaporkan bahawa pesawat itu mengambil laluan penerbangan di Kemboja sebagai laluan sebenar.

Selepas berpatah balik, pesawat itu menuju utara ke Sumatera berhampiran kepulauan Andaman dan kali terakhir dikesan oleh radar tentera di situ pada 2:22 pagi.

Komunikasi lain pesawat itu juga terhenti – transmisi automatik ACARS (sistem laporan dan komunikasi pesawat) MH370 ialah pada 1:07 pagi dan transponder berhenti komunikasi pada 1:21 pagi.

Menurut laporan interim berkenaan tragedi pada 2015, ia mengambil masa dua jam lagi sebelum pusat koordinasi penyelamat dimaklumkan, dan sejam lagi sebelum signal kecemasan sebenar dikeluarkan.

Hanya pada 2:40 pagi, pengawal di menara kawalan udara Malaysia memberitahu kepada MAS bahawa MH370 hilang.

Jejak terakhir pesawat itu adalah siri ‘ping’ satelit, di mana pada masa itu ia dipercayai berada di selatan Lautan Hindi.

Siapa penumpang MH370

Daripada sejumlah 239 penumpang dalam Boeing 777-200 itu, 12 orang ialah anak kapal dan dua lagi ialah bayi.

Majoriti penumpang ialah warga China (153), diikuti dengan rakyat Malaysia (38), tujuh Indonesia, enam Australia, lima India, empat Perancis, tiga rakyat Amerika Syarikat, dua masing-masing dari New Zealand, Ukraine dan Kanada, masing-masing seorang penumpang dari Rusia, Taiwan dan Belanda.

Baki dua lagi penumpang, disahkan sebagai warga Iran yang menggunakan pasport Itali dan Austria yang dicuri. Ini membawa kepada spekulasi awal bahawa kehilangan itu membabitkan serangan pengganas atau pesawat itu dirampas.

Pesawat itu dipandu juruterbang veteran Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53. Pembantu juruterbang ialah pegawai pertama Fariq Abdul Hamid, 27.

Pencarian

Dalam pencarian awal, Malaysia menggerakkan 15 pesawat tentera udara, enam kapal tentera laut dan tiga kenderaan pengawal pantai ke perairan di antara selatan Vietnam dan Malaysia, dengan bantuan dua pesawat pengawasan Australia.

Lapan hari dihabiskan mencari di kawasan itu walaupun diketahui pesawat berkenaan berpatah balik dan kali terakhir dikesan pada radar berada di utara Sumatera.

Dengan jumlah warga China yang ramai dan kawasan pencarian berpindah ke selatan Lautan Hindi berhampiran pantai barat Australia, kerajaan Malaysia, China dan Australia menandatangani perjanjian untuk mencari pesawat itu.

Malaysia bertanggungjawab bagi keseluruhan pencarian sementara Australia mengetuai operasi menerusi Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (Amsa) bagi pencarian di laut dan udara. Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) juga terbabit dalam pencarian di dasar laut untuk mengimbas lantai lautan.

Pencarian dilakukan di kawasan seluas 120,000 km kaki persegi selama 1,046 hari, menjadikan ia pencarian terbesar dan paling lama dalam sejarah penerbangan, dan akhirnya ia diakhiri pada Januari 2017. Kos operasi sebanyak RM610 juta dibiayai oleh tiga kerajaan.

Pada Januari 2018, kerajaan terdahulu, Barisan Nasional menandatangani perjanjian dengan syarikat penerokaan AS Ocean Infinity untuk memulakan semula pencarian, dengan syarat ia akan membayar RM279 juta (hanya jika pesawat Boeing 777 itu atau kotak hitamnya ditemui).

Kapal dengan jentera dasar laut ini digunakan untuk mencari pesawat MH370 di kawasan perairan Lautan Hindi, berhampiran barat Australia pada Februari lalu. – Gambar fail AFP, 30 Julai, 2018.

Pencarian itu turut berakhir pada 29 Mei lalu selepas kenderaan dasar lautnya meninjau 112,000 km persegi dasar lautan di selatan Lautan Hindi selama lebih 90 hari. Ia termasuk 25,000 km persegi kawasan yang tidak ditinjau sebelum ini.

Sejak kehilangan MH370 pada 8 Mac, 2014, Malaysia membelanjakan hampir RM500 juta.

Beberapa serpihan pesawat ditemui, dengan sesetengahnya disahkan daripada badan MH370 termasuk bahagian sayap sepanjang 2 meter yang dikenali sebagai “flaperon”, ditemui pada 29 Julai, 2015.

Serpihan itu ditemui di barat pantai Lautan Hindi, membawa kepada lebih banyak teori tentang kawasan pencarian baharu berdasarkan kepada teori analisis arus laut.

Apa langkah seterusnya untuk waris

Waris mangsa tidak mahu pencarian itu berakhir tetapi pihak berkuasa sebarang operasi pencarian baharu akan hanya dilakukan jika terdapat bukti sahih yang menunjukkan lokasi pesawat itu secara khusus.

Sesetengah ahli keluarga mendapatkan bantuan undang-undang.

Tuntutan saman pertama difailkan oleh keluarga rakyat Malaysia pada 31 Oktober, 2014. Keluarga penumpang bernama Jee Jing Hang menyaman kerajaan Malaysia, MAS, pihak berkuasa penerbangan awam, Jabatan Imigresen dan Pasukan Tentera Udara kerana kecuaian.

Tuntutan saman lain difailkan di mahkamah Malaysia, Australia, China dan Amerika Syarikat sebelum tamat tarikh akhir dua tahun untuk tindakan undang-undang terhadap kemalangan udara.

Pada Jun 2014, Malaysia Airlines mula memberikan pampasan awal sebanyak AS$50,000 (RM163,325) kepada waris penumpang. Bayaran penuh akan dibuat sebaik saja pesawat itu diisytiharkan hilang secara rasmi.

MH370 secara rasmi diisytiharkan hilang pada 29 Januari, 2015.

Tetapi laporan terbaru oleh Radio New Zealand memetik Ganesan Nethi, seorang peguam mewakili beberapa waris penumpang, berkata anak guamnya masih belum lagi menerima pampasan.

Sementara itu, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) pada 30 Januari, 2015 mengumumkan bahawa jumlah keseluruhan RM16.8 juta tuntutan insurans hayat dibayar kepada waris penumpang dan anak kapal pesawat itu.

Pada 24 Julai, 2018, sebanyak lima keluarga mangsa MH370 memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Putrajaya menempatkan semua dokumen berkaitan pesawat hilang itu di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

Mereka menuntut rakaman dan transkrip komunikasi dengan pesawat itu tidak diklasifikasikan rahsia, dan ia termasuk surat perjanjian prosedur ruang angkasa antara Singapura, Thailand dan Indonesia; minit mesyuarat yang diadakan dengan agensi berkaitan; memo dalaman dan laporan mencari dan menyelamat (SAR); laporan insiden operasi SAR; dan laporan post-mortem. – 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen