PKR perlukan muka lama dan baharu, kata Dr Wan Azizah


Melati A. Jalil

Kita mahukan wajah (pemimpin) lama dan baharu, kata Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika mengulas mengenai kewujudan dua kem mewakili Azmin Ali dan Rafizi Ramli menjelang pemilihan parti itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Julai, 2018.

PKR memerlukan gabungan pemimpin lama dan baharu untuk memimpin parti, kata Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelang pemilihan parti yang akan berlaku tidak lama lagi.

“Kita mahukan wajah (pemimpin) lama dan baharu.

“Kita perlukan kedua-duanya, kesinambungan itu penting tetapi yang lebih penting adalah meningkatkan kualiti kehidupan negara untuk rakyat,” katanya pada sidang media di pusat operasi PKR untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis hari ini.

Beliau ditanya mengenai pemilihan PKR yang akan diadakan pada 14 September sehingga 7 Oktober dan kemunculan dua kem berbeza yang mewakili Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Rafizi Ramli.

“Saya sokong semua orang dalam PKR. Demokrasi adalah amalan sihat dan persaingan membolehkan parti kita berkembang dan mengangkat semangat orang muda,” katanya apabila ditanya kem manakah yang disokongnya.

Rafizi sudah mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden yang kini dipegang Azmin.

Azmin pula masih belum mengumumkan sama ada akan mempertahankan jawatan itu atau merebut jawatan presiden yang sekiranya berlaku akan menyaksikan beliau bersemuka dengan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.

Mengulas isu peletakan jawatan Setiausaha Pemuda PKR Selangor Syed Badli Shah Syed Osman dan Pemangku Ketua Pemuda PKR Sabak Bernam Abdul Mutalib Ahmad, Dr Wan Azizah berkata beliau akan menunggu laporan mengenai perkara itu.

“Saya masih tiada masa bercakap dengan pengerusi dan saya akan dapatkan maklumat daripada Majlis Pimpinan Negeri,” katanya.

Azmin adalah pengerusi MPN Selangor.

Kedua-dua pemimpin itu meletak jawatan mendakwa budaya nepotisme dan kronisme sedang membarah dalam parti memaksa mereka berbuat demikian. – 29 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen