Jangan lagi main selamat, Rafizi untuk timbalan, kata Fuziah


Mohd Farhan Darwis

AHLI PKR kini perlu membuat satu saja pilihan iaitu Rafizi Ramli sebagai timbalan presiden parti untuk memastikan agenda reformasi yang dimulakan 20 tahun lalu akan terlaksana, kata calon ketua Wanita PKR Fuziah Salleh.

Rafizi, kini naib presiden, mencabar penyandang kerusi nombor dua parti itu, Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan yang akan bermula September ini.

Fuziah yang juga ahli Parlimen Kuantan berkata, pemilihan kali ini bukan lagi masanya untuk memilih jalan selamat – membayangkan sokongan kepada semua calon yang bertanding – sebaliknya inilah masa untuk menyatakan sokongan terbuka kepada pasukan yang akan mendukung Anwar Ibrahim sebagai presiden.

Dalam pidato mengumumkan pencalonannya untuk kerusi ketua Wanita, Fuziah berkata jawatan yang ditandingi pada pemilihan parti ini bukan untuk apa-apa kepentingan tetapi demi melaksanakan agenda reformasi.

“(Kita bersama Rafizi) bukan sebab orangnya, tetapi sebab prinsip yang dibawa individu ini. Kita bersama atas prinsip. 

“Kita tak boleh lagi main dua kolam, tidak boleh lagi play safe. Sekarang ini sama ada kapal ini atau kapal lagi satu,” katanya dalam satu majlis di sebuah hotel di Ampang, Selangor.

Tegas Fuziah, ahli PKR harus berani menyatakan pendirian mengangkat Anwar Ibrahim dan pasukannya memimpin parti untuk memastikan agenda reformasi yang dimulakan 20 tahun lalu terlaksana.

Sementara itu, calon bagi timbalan ketua Wanita Rodziah Ismail berkata, PKR juga perlu terus mendukung agenda reformasi walaupun mereka kini adalah kerajaan memerintah.

“Perubahan yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ialah kita berjaya tumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Kita kena pastikan PKR terus mendukung reformasi. Kita mendukung kuat kepimpinam Anwar Ibrahim dan kita akan pastikan Rafizi jadi timbalan presiden parti,” katanya. – 29 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • apa yang penting pastikan agenda reformasi yang dimulakan 20 tahun lalu akan terlaksana dengan lancar

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan