Hentikan pemberhentian tokoh korporat


SIRI perletakan jawatan dan penamatan kontrak pelbagai ketua pegawai eksekutif dan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan(GLC) semenjak peralihan kuasa dari Kerajaan Barisan Nasional (BN) amat menggusarkan.

Ia kelihatan seolah-olah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan yang mirip diamalkan oleh bekas presiden Amerika Syarikat, George W Bush – “if you are not with us, you are against us”.

Dalam konteks lain yang lebih ringkas, PH boleh dianggap mengamalkan pendekatan “a zero sum game” - sebelah pihak menang semua dan sebelah lagi tewas sepenuhnya.

Pendekatan seperti ini gagal mengharmonikan kelebihan dan kekuatan sedia ada yang sepatutnya digunakan sepenuhnya demi mendapat hasil dan manfaat untuk rakyat dan negara.

Perkara ini sangat merugikan semua pihak.

Ia bercanggah dan mengkhianati aspirasi membangunkan tanah air ini bersama-sama, dengan memaksimumkan penggunaan bakat terbaik tanpa mengira kecenderungan politik.

Saya berpendapat tindakan menyingkir dan memaksa perletakan jawatan pegawai tinggi GLC, sama ada secara langsung atau tidak langsung, adalah sangat bertentangan dengan semangat dan amalan politik baru yang seharusnya mengembleng semua potensi terbaik Malaysia untuk membangunkan Malaysia Baharu.

Lebih-lebih lagi semua jawatan tertinggi di GLC diisi oleh individu dan tokoh yang mempunyai pengalaman, kepakaran dan percapaian yang terbukti serta kepimpinan yang teruji.

Malah, dan lebih merugikan, tindakan Kerajaan PH untuk menyingkir dan memaksa perletakan jawatan pegawai tinggi ini sangat bersalahan dengan aspirasi membangunkan keupayaan ekonomi bangsa Melayu dengan lebih strategik.

Saya berpendirian bahawa, salah satu strategi untuk membangunkan kebolehsaingan ekonomi orang Melayu dan menjayakan ekonomi Malaysia yang inklusif ialah dengan mengangkat dan mengiktiraf pemimpin korporat serta pengurus ekonomi dan kewangan yang kompeten dan berwibawa.

Tindakan menyingkir atau menyebabkan tersingkirnya, mana-mana bakat terbaik Melayu dari memimpin GLC atas alasan kecenderungan politik tanpa disandarkan kepada faktor kegagalan mengurus dan prestasi yang buruk, adalah satu penganiayaan dan amalan yang wajar dihentikan serta merta.

Saya menyeru dan amat berharap agar Kerajaan PH menghentikan segera tindakan pembersihan tokoh korporat atau “corporate figure cleansing” ini. – 29 Julai, 2018.

*Mohamed Khaled bin Nordin adalah naib presiden Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kerajaan PH pun dah kata mereka tidak membalas dendam tapi hanya mengeluarkan orang2 yg telah menyeleweng kerana tidak menjalankan amanah dgn betul di dalam satu2 organisasi. Jadi rasanya betul la tu kerana kerajaan berbuat demikian utk pulihkan negara yg telah dikotori oleh mereka yg salahgunaka kuasa mereka.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh John lemon · Ulasan

  • Pemecatan tokoh korporat bukan dibuat sesuka hati. Tindakan Tun M membuat pemecatan jawatan atas sebab salah laku seseorang, seseorang individu didapati berbelanja melebihi yang sepatutnya, salah guna kuasa dan tidak komited dalam melaksanakan tugasan.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan