Berhenti salahkan BN dan mula bekerja, Khairy beritahu Pakatan


Melati A. Jalil

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata kerajaan baharu disaran berhenti memberi alasan untuk melindungi kegagalannya menunaikan janji pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) sepatutnya berhenti menyalahkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) untuk menutup kegagalannya menunaikan janji pilihan raya, kata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Khairy, yang berada di Johan Setia semalam untuk membantu kempen Lokman Noor Adam dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis, berkata rakyat tidak dapat menafikan banyak sumbangan oleh BN dan Umno semasa 61 tahun memerintah negara.

“Umno dan BN banyak memberi sumbangan (kepada negara). Jangan kata anda tidak boleh menunaikan janji anda kerana kesalahan BN atau Umno.

“Saya membaca banyak komen di media sosial di mana rakyat berkata berhenti menggunakan alasan menyalahkan Umno dan BN. Mereka mesti mula mentadbir sebagai kerajaan baru, mesti mula serius bekerja,” katanya kepada kira-kira 200 orang yang menghadiri ceramah BN di Taman Setia malam tadi.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata kerajaan baru memerlukan lebih banyak masa untuk melaksanakan semua 10 janji dalam tempoh 100 hari seperti yang dijanjikan dalam manifestonya, kerana kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Dr Mahathir juga berkata tidak semua 10 janji dapat ditunaikan kerana kerajaan mesti mengikut undang-undang dan mengkaji mekanisme serta agensi berkaitan yang akan melaksanakan janji-janji tersebut.

Beliau juga berkata PH setakat ini sudah memenuhi dua daripada 10 janji dan sedang dalam proses memenuhi enam janji lain.

“Ada dua yang belum kita mulakan. Tetapi, kami komited untuk menyempurnakan janji,” kata Dr Mahathir.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga berkata kerajaan PH akan mengambil masa lebih lama untuk memenuhi semua janji manifesto dalam tempoh 100 hari pertama kerana faktor hutang negara.

Sementara itu, Khairy berkata kerajaan PH yang baharu tidak mewarisi negara yang gagal, seperti yang dibuktikan dengan komen positif daripada agensi penarafan utama, termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa mengenai kemajuan ekonomi negara.

“Sebagai bekas anggota pentadbiran terdahulu, saya tidak dapat menerimanya apabila mereka mengatakan kita meninggalkan sebuah negara atau kerajaan yang berada di ambang muflis, sebuah negara yang gagal.

“Sebaliknya, kita sebenarnya mewariskan kerajaan yang baik, jika ada masalah kecil yang melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan sebagainya, sila siasat. Tetapi jangan bercakap seolah-olah Umno dan BN tidak ada sumbangan sama sekali.

“Kita dapat melihat keamanan dan pembangunan hari ini, kemajuan orang Melayu adalah kerana Umno dan BN,” katanya.

Khairy adalah pemimpin BN yang menyertai kempen Lokman. Bekas perdana menteri Najib Razak juga muncul di Sungai Kandis.

Lokman berdepan pertandingan tiga penjuru dengan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon bebas K. Murthy.

PRK itu diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai. – 29 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen