UMNO menafikan bahawa bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzukifli Ahmad mewakili parti itu untuk menuntut wang berjumlah lebih RM116 juta yang dirampas polis.
“Tidak,” kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dengan ringkas, ketika ditanya pemberita berkenaan perkara itu, dalam sidang medianya di ibu pejabat Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Dzulkifli menjadi peguam di Scivetti & Associates bagi mendapatkan semula RM116.7 juta wang yang dirampas pihak berkuasa.
Wang itu dirampas polis dalam operasi pada 16 Mei lalu ke kediaman mewah dikaitkan bekas presiden Najib Razak berhubung siasatan ke atas kes skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ahmad Zahid juga berkata akaun parti itu masih dibekukan dan Umno telah melantik firma guaman bagi tujuan itu.
“Ya masih beku, Umno perlu akan duit itu… dan kita telah melantik firma guaman untuk failkan tuntutan kita,” katanya lagi.
Dzulkifli juga pada 21 Julai lalu menafikan pembabitan semula beliau dalam bidang guaman hanyalah semata-mata hanya untuk membantu menyelesaikan kes tuntutan melibatkan Umno.
Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata beliau membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Amalan Guaman sebelum Hari Raya Aidilfitri, awal sebelum serbuan polis itu dibuat.– 27 Julai, 2018.
Komen