Dzulkifli nafi sertai semula bidang guaman semata-mata bantu kes tuntutan Umno


Seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan pembabitannya dalam firma guaman yang mewakili Umno semata-mata untuk membantu parti itu mendapatkan semula RM116.7 juta yang dirampas polis dalam serbuan berkaitan siasatan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2018.

DZULKIFLI Ahmad menafikan pembabitannya dalam firma guaman yang mewakili Umno semata-mata untuk membantu parti itu mendapatkan semula RM116.7 juta yang dirampas polis dalam serbuan berkaitan siasatan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata beliau membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Amalan Guaman sebelum Hari Raya Aidilfitri, awal sebelum serbuan polis itu dibuat.

“Saya membuat permohonan mendapatkan sijil tersebut sudah lama kerana ingin kembali aktif sebagai peguam, jadi secara kebetulan saya dikaitkan dengan firma berkenaan,” katanya seperti dipetik portal Utusan Online.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan yang Dzulkifli didaftarkan sebagai peguam yang bekerja dengan firma yang diwakili Umno, Scivetti & Associates. Datanya kali terakhir dikemas kini pada 9 Julai lalu.

Scivetti & Associates baru-baru ini dilantik Umno untuk menuntut wang tunai dirampas polis dalam serbuan ke atas kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Wang dan barangan yang bernilai mencecah RM1.1 bilion itu dirampas dalam siasatan berkaitan 1MDB dari kediaman dikaitkan dengan Najib.

Tania Scivetti, ketua firma itu sebelum ini pernah bekerja dengan peguam Umno, Shafee Abdullah dalam beberapa kes. Scivetti dilahirkan di Australia dan mendapat pendidikan di Amerika Syarikat diterima masuk ke dalam kamar Mahkamah Tinggi Malaysia pada 2007.

Shafee adalah ketua peguam untuk Najib yang kini berdepan pertuduhan rasuah berkaitan dengan SRC International, syarikat milik Kementerian Kewangan yang sebelum ini adalah anak syarikat 1MDB.

Mengulas lanjut, Dzulkifli yang pernah menjadi peguambela sejak April 1993 berkata, beliau berhasrat untuk menceburi bidang guaman semula dengan membuka sebuah firma guaman dalam tempoh terdekat.

Keinginan itu timbul selepas berjaya mendapat Sijil Amalan Guaman daripada Scivetti & Associates pada 9 Julai lalu, tambahnya.

“Sebenarnya saya hanya menjadi peguam dan anggota firma tersebut untuk tempoh sementara kerana selepas ini, saya membuka firma guaman sendiri dan bersedia menerima apa-apa sahaja kes,” katanya seperti dipetik portal berkenaan.

Dzulkifli, graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meletak jawatan sebagai ketua SPRM pada 14 Mei, lima hari selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya.

Beliau kembali ke jawatan lamanya di Jabatan Peguam Negara tetapi diarah bersara awal.

Dzulkifli dilantik mengetuai SPRM pada 1 Ogos 2016, selepas jawatan itu dikosongkan ketua SPRM ketika itu Abu Kassim Mohamed. Tempoh khidmat Dzulkifli di SPRM sepatutnya tamat pada 2021.

Beliau juga terpalit kontroversi Oktober tahun lepas selepas beberapa rakaman video tersebar menuduhnya menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang.

Polis mengumumkan mereka sudah membuka kertas siasatan ke atas kes itu, tetapi tiada perkembangan kes berlaku. Menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang adalah satu kesalahan di Malaysia menurut Seksyen 498 Kanun Keseksaan. – 21 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen