Isu Mesut Ozil dan integrasi Malaysia


Wan Hamidi Hamid

MESUT Ozil adalah wira bola sepak Jerman. Anak kelahiran Jerman ini kini bermain untuk kelab Arsenal di England. Beliau berketurunan Turki.

Baru-baru ini beliau membuat keputusan mengejut bersara daripada bermain bagi negaranya. Dia menuduh Persatuan Bola Sepak Jerman bersikap  perkauman dan diskriminasi terhadapnya.

Kenyataannya yang dikeluarkan di London dalam bahasa Inggeris berbunyi: “I am German when we win, but I am an immigrant when we lose”, iaitu terjemahannya, “Saya diterima sebagai seorang Jerman apabila kita menang tetapi saya digelar pendatang apabila kita kalah”.

Isu yang kontroversi itu timbul apabila Ozil mengambil gambar bersama dengan Recep Tayyip Erdogan apabila Presiden Turki itu melawat United Kingdom sejurus sebelum pertandingan Piala Dunia 2018 berlangsung baru-baru ini.

Perkauman di Barat

Secara tersurat, majoriti rakyat Jerman membantah tindakan Ozil itu kerana dilihat mengiktiraf seorang diktator. Namun, yang tersirat di hati mereka mencermin kegelisahan terhadap rakyat sendiri yang bukan berkulit putih.

Semakin ramai orang Eropah tidak selesa dengan kehadiran imigran, tidak kira yang datang itu merupakan pencari kerja, pemohon suaka politik atau pelarian perang. Asalkan “pendatang asing”, mereka tidak diterima walau pun ramai yang sudah menjadi warga generasi kedua dan ketiga.

Di Jerman, kegelisahan, ketidakselesaan, malah kebencian terhadap imigran yang digelar pendatang asing itu telah membantu melahirkan parti sayap kanan perkauman Alternatif Untuk Jerman (AfD) yang kini menjadi parti ketiga paling besar di negara tersebut.

Ia fenomena yang mengerikan buat Eropah. Setelah parti perkauman ekstrem Nazi pimpinan Adolf Hitler hancur selepas Perang Dunia Kedua (1939-45), gerakan perkauman di Jerman telah terkubur. Kini lebih 70 tahun kemudian ia muncul kembali.

Solidariti di mana-mana

Di Malaysia, ramai bersimpati dengan Ozil, termasuk yang bersolidariti dengannya atas dasar Islam kerana beliau merupakan seorang Muslim.

Namun, dalam media sosial tempatan, sudah ada yang menegur semangat setiakawan yang dianggap berat sebelah itu.

Bagi mereka, persoalannya adalah mengapa simpati terhadap Ozil tidak dikongsi dengan solidariti orang Muslim Malaysia dengan warga Malaysia yang beragama lain? Mereka bertanya mengapa kebanyakan orang Melayu enggan menerima hak setara dengan kaum-kaum lain?

Di Jerman, penyokong dan pendokong AfD mahu semua warga Jerman tunduk kepada “realiti politik” negara itu, iaitu yang menerima sepenuhnya budaya dominan kaum kulit putih.

Retorik itu bertujuan memberi amaran kepada para imigran, malah generasi kedua dan ketiga yang sudah pun menjadi warga negara, bahawa mereka dilarang mengamalkan budaya asal dari Turki, Afrika atau Asia kerana ia dianggap mencemarkan budaya Jerman.

Secara sedar atau tidak, ada suara-suara sumbang di Malaysia yang membuat tuntutan yang hampir sama.

Ini namanya tuntutan asimilasi. Ia merupakan paksaan. Ia berbeza dengan integrasi.

Asimilasi dan integrasi

Apabila orang Muslim berhijrah ke negara lain, terutamanya di Eropah, Amerika Utara, Australasia dan negara-negara maju lain, mereka dengan rela hati menerima integrasi – tetapi mereka bermati-matian menolak asimilasi.

Asimilasi bermaksud keadaan atau proses bila mana orang yang berhijrah ke sesebuah negara (atau kumpulan minoriti yang berbeza cara hidup daripada majoriti) menerima sepenuhnya cara hidup yang sudah wujud di negara tersebut, yakni meninggalkan budaya asal atau amalan kebiasaan mereka.

Integrasi pula bermakna masyarakat yang sedia ada (majoriti) di negara tersebut menerima individu atau kumpulan individu yang berbeza cara hidup mereka untuk tinggal bersama.

Maksudnya, integrasi akan menambah dan mengembangkan budaya baru kepada masyarakat yang sedia ada. Ia boleh melahirkan transformasi masyarakat, malah meluaskannya lagi.

Bagi masyarakat Muslim yang menjadi minoriti di negara-negara bukan asal mereka seperti di Jerman, asimilasi akan menyebabkan mereka hilang harga diri, budaya kaum dan agama, dan rasa dipaksa tunduk kepada majoriti.

Kebanyakan Muslim di Eropah, Amerika dan Australasia memilih integrasi bagi memastikan hidup bebas sendiri serta tidak mengganggu atau memaksa orang lain dalam satu masyarakat bebas yang saling hormat-menghormati.

Dalam isu Ozil, walau pun tidak semua alasannya untuk bergambar dengan Erdogan cukup kukuh, beliau tetap dilihat sebagai mangsa politik perkauman yang timbul semula di Jerman.

Tidak ada salahnya kita bersolidariti dengan Ozil. Malah lebih baik juga apabila kita kembangkan solidariti ini bersama semua rakyat Malaysia atas dasar berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Ia sama seperti mana kita perlu menghormati pekerja-pekerja dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan banyak lagi yang mencari nafkah di Malaysia kerana kita sendiri (kerajaan dan majikan) yang menjemput mereka datang.

Lebih dari itu, kita perlu melihat semula apa yang kita gelar sebagai realiti politik. Yang ada selama ini, realiti politik itu masih berteraskan kaum, malah perkauman dan ditambah pula dengan agama yang dijadikan alat politik.

Kita menerima Perlembagaan Persekutuan yang telah menggariskan hak-hak sah semua rakyat. Ini pegangan kita.

Yang diharapkan adalah generasi semasa dan generasi akan datang dapat merapatkan diri dalam semangat muhibah dan kasih sayang, dan bukan lagi rasa curiga antara satu sama lain.– 27 Julai, 2018

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen