Peraturan khidmat doula akan diwujudkan, kata menteri kesihatan


Melati A. Jalil

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad ketika hadir pada program di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Julai, 2018

KEMENTERIAN Kesihatan akan mengadakan pertemuan dengan pengamal doula atau pembantu bukan perubatan sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mewujudkan peraturan bagi perkhidmatan pembantu proses kelahiran.

Menterinya Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu perlu bagi mengenal pasti sebarang masalah yang timbul dalam amalan itu. 

“Setakat ini tiada penanda aras (untuk wujudkan peraturan perkhidmatan doula) jadi kita perlu kenal pasti masalahnya dengan serius. 

“Kita akan mengadakan peertemuan dengan pengamal doula dalam masa terdekat berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada majlis penutup Promosi Kesihatan dalam Konvensyen Institusi Pembelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Menurutnya, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung masalah membabitkan doula. 

Katanya, peraturan khas akan memastikan keselamatan serta kesejahteraan ibu dan anak ketika proses kelahiran. 

Amalan itu katanya perlu diwujudkan peraturan untuk mengelakkan insiden yang tidak diingini atau memberi kesan kepada ibu dan bayi.

Doula merupakan pembantu atau peneman ketika proses kelahiran bagi memberi sokongan emosi serta maklumat mengenai kehamilan dan kelahiran seperti cara meneran dan bernafas (ketika proses kelahiran).

Isu membabitkan khidmat doula mula timbul pada Februari selepas berita kematian seorang bayi perempuan viral di Facebook. Bayi berkenaan dikatakan lahir di rumah namun meninggal dunia akibat komplikasi ketika di bawah jagaan doula. 

Siasatan polis bagaimanapun mendedahkan doula tidak terbabit dengan kematian bayi berkenaan. – 26 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen