Perkahwinan kanak-kanak: Adat kuno berselindung sebalik agama


Gan Pei Ling

Seluruh dunia membantah perkahwinan kanak-kanak dan kini semakin banyak negara majoriti Islam menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun. – Gambar fail AFP, 26 Julai, 2018.

BERITA tentang seorang kanak-kanak Thailand berumur 11 tahun berkahwin dengan peraih getah 41 tahun di Kelantan mencetuskan kemarahan masyarakat awal bulan lalu, tetapi pada masa sama ramai yang tidak tahu tentang pengantin berusia 13 dan 19 tahun.

Di sebalik gesaan berulang kali dilakukan kumpulan pejuang hak wanita dan kanak-kanak sejak beberapa dekad lalu, perkahwinan kanak-kanak masih menjadi masalah hingga kini, dan puncanya berkait rapat dengan kemiskinan hidup.

Tahun lalu, seramai 359 remaja bawah umur bukan Islam, antara 13 dan 17 tahun berkahwin. Dua daripada lima, pasangan mereka juga masih di bawah umur.

Bagi kanak-kanak beragama Islam, jumlahnya lebih tinggi iaitu lebih 1,000 kanak-kanak dikahwinkan sebelum umur 18 tahun, menurut statistik rasmi, sejak 2011.

Sarawak, Sabah dan Kelantan adalah tiga negeri paling ramai mencatatkan permohonan perkahwinan bawah umur kanak-kanak Islam. Tiga negeri itu juga negeri termiskin di negara ini.

Antara 2000 dan 2010, jumlah kanak-kanak berusia antara 15 dan 19 tahun di Malaysia yang berkahwin meningkat 50%, daripada 53,196 kepada 80,195.

Dalam tempoh sama, jumlah kanak-kanak lelaki daripada kumpulan umur sama yang berkahwin juga meningkat hampir tujuh kali ganda – daripada 11,833 kepada 72,640.

Data jumlah kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berkahwin ketika usia bawah 15 tahun itu tidak ada dalam bancian 2010 untuk dibandingkan dengan tahun 2000.

Alasan mengapa perkahwinan kanak-kanak dilihat seperti boleh diterima oleh sesetengah pihak ialah kerana kepercayaan yang silap bahawa ia budaya Islam, di mana dakwaan itu ditolak keras Kumpulan Tindakan Bersama tentang hak asasi manusia.

“Perkahwinan kanak-kanak bukan wajib dan ia tidak digalakkan oleh Islam. Sunah yang sering dipetik ialah tentang perkahwinan Nabi Muhammad dan Aishah,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan, bulan lalu.

“Tidak ada bukti kukuh yang menyatakan usia Aishah ketika berkahwin ialah sembilan tahun dan ada kajian menunjukkan beliau lebih berusia ketika berkahwin dengan Nabi Muhammad iaitu 19 tahun.”

Kumpulan Sisters in Islam berkata dalam satu laporan bersama antara Universiti Al-Azhar di Mesir dan Unicef mengisytiharkan bahawa perkahwinan kanak-kanak hanya satu adat, dan tidak ada sokongan agama langsung.

“Ia bukan sebahagian daripada syariah atau keagamaan dan ia jelas membawa kepada kesan yang buruk. Maka, usia untuk berkahwin yang paling sesuai ialah selepas 18 tahun.

“Perkahwinan ialah satu tanggungjawab agama dan sosial yang menuntut kemampuan dan kerelaan kedua-duanya suami dan isteri untuk memikul tanggungjawab itu.

“Jadi, adalah tidak patut untuk meletakkan beban itu kepada kanak-kanak,” kata laporan itu.

Dengan semakin banyak negara maju dan membangun yang majoriti Islam menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun di seluruh dunia, semua kini tertumpu pada Putrajaya tentang langkah yang akan diambil kerajaan dalam mengakhiri perbuatan perkahwinan kanak-kanak di Malaysia. – 26 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen