Maszlee jelaskan bagaimana kasut hitam boleh ubah rakyat


Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata selain duit yang dijimatkan daripada mengganti kasut putih yang dapat digunakan untuk membeli buku, masa yang dijimatkan daripada mencuci kasut yang kotor setiap minggu juga boleh digunakan untuk membaca buku atau meningkatkan pengetahuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2018.

DUIT yang dijimatkan daripada mengganti kasut putih yang lusuh, apabila pelajar sekolah dibenarkan memakai kasut hitam bermula tahun depan, sepatutnya digunakan untuk membeli buku bagi menambah ilmu, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Masa yang dijimatkan daripada mencuci kasut yang kotor setiap minggu juga boleh digunakan untuk membaca buku atau meningkatkan pengetahuan, tambahnya.

“Saya tengok ada yang komen bahawa perubahan itu pada otak, bukan pada kaki. Tetapi bagi saya perubahan itu bermula dengan kasut hitam,” katanya semasa muncul dalam program Bicara Khas di RTM1 malam tadi.

“Apabila pakai kasut hitam, duit yang dijimatkan boleh digunakan untuk beli buku, masa yang dijimatkan untuk mencuci kasut boleh digunakan untuk membaca buku.”

Jelas Maszlee, budaya ingin tahu yang ada pada anak-anak harus dipupuk dengan menggalakkan mereka membaca buku.

Program bual bicara itu dikendalikan pengacara Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar.

Maszlee mengulas kritikan terhadap pengumumannya minggu lalu mengenai pelaksanaan pemakaian kasut hitam bagi semua murid sekolah bermula tahun depan, susulan rungutan ibu bapa terhadap peraturan mewajibkan kasut putih sekarang.

Antara yang mengkritik pengumuman itu termasuk bekas menteri Rais Yatim yang menulis di Twitter apa pentingnya murid seluruh negara diminta menukar kasut hitam. Beliau berpendapat pemakaian kasut putih di sekolah menggalakkan murid bersih dan berdisiplin. 

Beberapa hari selepas pengumuman itu, Maszlee menjelaskan peraturan baru kasut hitam itu akan dilaksanakan secara berperingkat untuk tidak membebankan ibu bapa yang berpendapatan rendah.

Mengulas mengenai pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadapnya, terutama berhubung pengumuman beliau mengenai kasut hitam, Maszlee berkata, beliau menerima dengan terbuka semua kritikan malah gembira kerana baginya ia menunjukkan rakyat mengambil berat soal pendidikan.

Beliau yang belum sampai 70 hari jadi menteri pendidikan turut melahirkan rasa gembira atas pelbagai saranan yang dikongsi oleh pelbagai pihak kepada beliau dan kementerian menyentuh pelbagai isu.

“Sekarang ini semua orang bercakap tentang pendidikan, mahu yang terbaik dan mengutarakan penyelesaian isu. Ini petanda kita berada di landasan yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, Maszlee turut menasihati guru-guru agar menggalakkan murid dan pelajar mereka membaca, selain meminta ibu bapa agar lebih rajin menyediakan bahan bacaan untuk anak-anak mereka.

“Itulah peranan guru, untuk jadi pembimbing membentuk sahsiah anak-anak kita,” jelasnya.

Antara ucapan awal Maszlee sejak jadi menteri bermula 21 Mei lepas ialah hasratnya mahu meningkatkan tahap pembacaan rakyat Malaysia, termasuk melalui program besar-besaran Dekad Membaca Nasional yang dijangka akan dilancarkan pada 2020. – 25 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen