Wujudkan undang-undang kekang penipuan akademik, kata Patriot


Low Han Shaun

Kakitangan universiti dan pensyarah juga arus bertindak dengan profesional dan tidak mengamalkan pilih kasih, kata Patriot. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2018.

KEMENTERIAN Pendidikan perlu mewujudkan kod etika ketika mengendalikan penipuan dan aktiviti memplagiat dalam akademik, kata Persatuan Patriot Kebangsaan Malaysia (Patriot).

Menurut kumpulan itu, Kementerian Pendidikan perlu “mengadakan kod etika untuk diikuti oleh universiti apabila berlaku penipuan dan plagiat”.

“Sesiapa yang melanggar kod itu boleh dipanggil untuk disiasat dan tindakan boleh diambil terhadap mereka,” kata ahli Patriot, Ahmad Ghazali Abu Hassan pada mesyuarat kumpulan itu di Subang Jaya hari ini.

Beliau mengulas laporan The Malaysian Insight hari ini mengenai perkhidmatan penulis upahan (ghostwriting) yang semakin berleluasa di universiti.

Menurut Ghazali, penipuan akademik semakin berleluasa di Malaysia disebabkan setiap universiti mempunyai garis panduan universiti sendiri.

“kenapa ia begitu berleluasa di Malaysia? Walaupun undang-undang harta intelek boleh dilaksanakan, tiada siapa ambil serius mengenai hal ini sebab sudah jadi budaya kita.

“Ada banyak proses untuk saman seseorang menggunakan undang-undang harta intelek,” katanya.

Pengarah PR Patriot, Dr Wong Ang Peng juga berkata kakitangan universiti dan pensyarah harus bertindak dengan profesional dan tidak mengamalkan pilih kasih.

“Pensyarah, dekan dan fakulti mesti profesional.

“Masalahnya, menangani penipuan akademik bergantung kepada kebijaksanaan universiti. Inilah sebabnya kenapa perlu mengadakan undang-undang dan piawaian bagi pensyarah,” katanya. – 25 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen