Penulis upahan makin berleluasa di universiti


Low Han Shaun

Facebook menjadi platform paling popular bagi mendapatkan perkhidmatan penulis upahan. – Gambar Facebook, 25 Julai, 2018.

MENGAMBIL upah menyiapkan tugasan mahasiswa termasuk untuk pensyarah yang melanjutkan pengajian di universiti kini jadi satu perniagaan yang menguntungkan, walaupun sekarang sudah ada perisian yang boleh mengesan kerja-kerja plagiat.

Seorang penulis upahan memberitahu The Malaysian Insight tugasan yang mereka siapkan terlepas daripada semakan kerana mereka mengelak daripada meniru tulisan lain manakala perisian mengesan plagiat tidak menangkap gaya penulisan.

“Walaupun (pensyarah) syak yang anda upah orang lain untuk siapkan tugasan, mereka tidak boleh buktikannya, jadi jangan risau,” kata penulis upahan itu, yang mengenakan bayaran RM1,800 untuk tugasan enam halaman.

Penulis upahan mengambil kesempatan daripada kelemahan pengawasan ini, kata bekas pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Ahmad Ghazali Abu Hassan.

“Dengan menyelia pelajar-pelajar, saya boleh tahu. Saya boleh tengok mutu tulisan mereka daripada tugasan yang lepas kerana saya akan tahu tahap penulisan mereka dan bagaimana mereka biasanya menulis tugasan.

“Kertas yang mereka siapkan biasanya lepas ujian Turnitin (perisian mengesan plagiat). Apa yang saya boleh buat ialah beri lulus. Saya tidak boleh beri markah yang tinggi tetapi saya tidak gagalkan mereka kerana tidak ada sistem untuk gagalkan mereka,” katanya.

Beliau merujuk pada peraturan universiti yang mentakrifkan plagiat dan keadaan yang menyebabkan sesuatu tugasan itu gagal.

Turnitin ialah perisian yang boleh memerika kerja-kerja ciplak yang digunakan oleh kebanyakan badan akademik di Malaysia. Apabila sesuatu tugasan itu dimuatnaik ke dalam pangkalan data perisian itu, ia akan membandingkannya dengan semua tulisan yang tersimpan di dalamnya. Kertas yang dimuatnaik tidak boleh dipadam.

“Mengupah orang menulis, tugasan itu akan jadi okay tetapi seorang pensyarah (yang kenal pelajarnya) akan tahu apakah pelajar itu mampu menulis begitu,” tambah Ghazali, yang berpengalaman 18 tahun mendidik.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight khidmat penulis upahan bukan hanya dipakai oleh mahasiswa tetapi sesetengah pensyarah yang bercita-cita naik pangkat dalam bidang akademik.

“Ini mereka yang membuat kursus sarjana. Mereka mahu capai jumlah kuota makalah dan mahu nama mereka ada dalam esei yang terbit. Ini sangat tidak berguna.”

Iklan bagi khidmat penulis upahan ini masih boleh dijumpai di media sosial walaupun selepas perbuatan tidak beretika ini dibongkar oleh media pada 2015.

The Malaysian Insight menghubungi salah satu iklan yang ditemui di Facebook dan membuat pertanyaan sebagai mahasiswa lepasan ijazah.

“Harganya berbeza, bergantung pada topik dan universiti mana, dan berapa cepat hendak disiapkan,” kata penulis upahan itu.

Beliau kemudian meminta diatur satu pertemuan di sebuah pejabat di Kuala Lumpur untuk perbincangan mengenai tugasan berkenaan.

Di pejabat yang terletak di tingkat satu sebuah bangunan tinggi di Bukit Bintang, ada tidak sampai sepuluh orang sedang duduk menulis di komputer.

“Untuk universiti swasta, kita kenakan bayaran RM1,800,” kata lelaki itu apabila ditanya mengenai tugasan dalam bidang pendidikan untuk lepasan ijazah.

Jelas beliau, harga itu mungkin murah beberapa ratus ringgit sekiranya tugasan itu untuk universiti awam.

Ditanya bagaimana tulisan yang diupah ini tidak akan dapat dikesan dan “pelanggannya” tidak akan gagal dalam kerja kursus mereka, beliau berkata perkhidmatan mereka “lepas ujian Turnitin” dan mereka juga memberi jaminan memulangkan wang.

Tipu

Dalam kes melibatkan pensyarah, Ghazali yang kini bersara berkata beliau tahu ada beberapa pensyarah kontrak yang mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang baik diupah untuk terlibat dalam projek kumpulan tetapi kemudiannya merekalah yang sebenarnya menulis tugasan itu.

“Pensyarah kontrak ini selamat dan kontrak mereka dilanjutkan kerana mereka menulis untuk dekan atau ketua jabatan,” katanya.

Ghazali menyalahkan sistem pendidikan universiti yang memberi keutamaan kepada petunjuk prestasi utama (KPI) dan bukannya meningkatkan kualiti dan kemampuan pensyarah dan pelajar.

“Isu pokoknya ialah kita tidak ada orang yang mampu menulis dengan baik dalam Bahasa Inggeris dan kita pula tetapkan standard yang tinggi untuk mereka, meminta mereka menulis kertas kajian.

“Macam mana nak buat? Mereka cari penulis upahan dan menciplak,” kata Ghazali.

Presiden Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), Prof Zaharom Nain berkata penulis upahan ini sudah jadi lumrah sehinggakan ada penyedia perkhidmatan dari luar negara yang mengambil upah dari Malaysia.

“Saya boleh kata kegiatan ini makin berleluasa kerana ada banyak pihak yang menyediakan perkhidmatan seperti ini dan mengiklankannya secara terbuka.

“Perkhidmatan itu nampaknya ditawarkan antara negara, membolehkan seorang pelajar di Malaysia mendapat penulis upahan di negara lain,” katanya.

Zaharom menambah kerja menipu ini bukan saja berlaku dalam projek tahun akhir tetapi juga tugasan biasa di universiti.

Gerak baru-baru ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Pendidikan yang baru Dr Maszlee Malik pada 11 Jun menggesa pelantikan kanan di universiti dibuat berasaskan merit semata-mata dan bukan lagi dipengaruhi politik.

Maszlee sebelum itu pada 3 Jun memberi amaran keras tidak bertolak ansur dengan sebarang salah laku plagiat atau penipuan dalam kerja akademik di univerisiti.

Katanya, mahasiswa dan pensyarah perlu ada integriti dan berdisiplin. – 25 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen