Perkahwinan kanak-kanak akan diharamkan, kata menteri


Kamles Kumar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata buat masa sekarang penguatkuasaan prosedur standard terhadap perkahwinan kanak-kanak akan diperketatkan sementara undang-undang dipinda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2018.

MALAYSIA bakal mengharamkan perkahwinan kanak-kanak, tetapi sehingga undang-undang boleh dipinda, Putrajaya sedang berusaha untuk segera mengetatkan peraturan bagi memastikan keselamatan semua kanak-kanak di bawah umur, kata menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata terdapat banyak undang-undang yang perlu dipinda untuk mengharamkan amalan itu tetapi “rancangan jangka pendek” buat masa sekarang adalah menguatkuasakan prosedur operasi standard bagi agensi dan pegawai yang terlibat dalam kes sedemikian.

“Kami membuat perancangan jangka pendek, SOP untuk mengetatkan peraturan. Ia akan dilaksanakan bulan ini. Mereka akan membentangkannya dan menunjukkan kepada saya,” kata Mujahid kepada pemberita di Parlimen hari ini.

“Ini hanya sementara; (untuk) jangka panjang, perkahwinan kanak-kanak perlu diharamkan,” katanya.

Ahli Parlimen Amanah itu berkata masalah yang dihadapi oleh kerajaan ialah undang-undang individu bagi setiap negeri yang tidak boleh diselaraskan, yang merumitkan proses mengharamkan perkahwinan kanak-kanak.

“Apabila pihak persekutuan membuat undang-undang sedemikian, kami berharap negeri akan mengikutinya. Tidak ada gunanya mempunyai undang-undang yang hanya diikuti di peringkat persekutuan,” katanya.

“Hasil akhirnya, kami berharap untuk menamatkan perkahwinan kanak-kanak.”

Laporan seorang lelaki berusia 41 tahun yang mengahwini seorang gadis Thailand berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya bulan lalu menguasai tajuk akhbar utama di Malaysia, yang menjadikan kejadian perkahwinan kanak-kanak di negara ini mendapat perhatian.

Walaupun menyatakan kerajaan “tegas” menentang perkahwinan kanak-kanak dan sedang berusaha menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini dikritik kerana dilihat cuba “menutup” kes itu.

Beliau yang juga menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat itu meminta hak privasi keluarga dilindungi, dan berkata orang awam tidak seharusnya menyerang lelaki dan keluarganya di media sosial.

Pengkritik menyelar presiden PKR, menuntut tindakan pantas menangkap pengantin lelaki di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, dan menyeru larangan terhadap semua perkahwinan kanak-kanak. – 25 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • sekarang banyak kes yang melibatkan perkahwinan di bawah umur...kerajaan perlu memantau keadaan ini kerana pada usia yang terlalu muda mereka perlu melanjutkan pergajian bukan memikul tanggungjawab sebagai suami isteri...ditambah pula perkahwinan pada usia yang matang juga berlaku banyak kes perceraian inikan pula diusia yang muda...menteri perlu melakukan akta yang terbaik utk melindungi kanak2 yang berkahwin pada usia muda...

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan