Umno akan bekerjasama dengan PAS secara sembunyi di Sungai Kandis


Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata Umno akan bekerjasama dengan PAS secara senyap selepas persetujuan tidak formal. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 Julai, 2018.

PAS sudah mengatakan secara terbuka tidak akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis tetapi tiada yang dapat menghalang kedua-duanya berpakat secara senyap, kata pemimpin Umno semalam.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata Umno akan bekerjasama dengan PAS secara senyap selepas persetujuan tidak formal.

“Kami bersetuju untuk berkongsi forum dan matlamat dengan PAS, tetapi kami tidak boleh berkongsi pentas di bawah satu parti,” kata Ahli Parlimen Bera itu.

Pemimpin dan personaliti tertinggi dari kedua-dua pihak mungkin akan muncul pada acara yang sama, katanya.

“Kita boleh ada Azhar Idrus dan Syamsul Debat atas pentas yang sama, misalnya. Dan ini akan menunjukkan parti bekerjasama,” kata bekas menteri luar bandar dan wilayah itu ketika melancarkan pusat pilihan raya BN di Jalan Siswi Kanan malam tadi.

“Kita akan cuba mendapatkan ketua setiausaha kedua-dua parti dalam satu ceramah akhir pada malam pengundian untuk Sungai Kandis pada 4 Ogos,” katanya.

PAS tidak meletakkan calon untuk PRk Sungai Kandis dan akan membantu kempen Lokman Noor Noor Adam di sini.

Kerjasama antara PAS dan Umno “akan memaksa Pakatan Harapan keluar,” katanya semasa pelancaran kempen.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, menyifatkan PAS dan Umno sebagai “adik beradik” selepas PAS berkata ia tidak akan bertanding dalam PRK itu.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa semalam membidas dengan berkata, “hubungan kami dengan PAS bukan urusan beliau”.

PAS meletakkan calon dalam pilihan raya umum pada 9 Mei tetapi memilih untuk tidak bertanding kali ini.

Lokman Noor Adam akan mewakili BN menentang Mohd Zawawi Ahmad Mughni daripada PKR dan calon bebas K. Murthy.

Undian bagi kerusi DUN Selangor itu akan diadakan pada 4 Ogos.

Kerusi itu kosong pada 2 Julai selepas kematian wakil rakyatnya Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR. – 24 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen