Lebih 4,000 pengundi hantu disyaki berdaftar di Wangsa Maju


Sheridan Mahavera

Bendahari PKR Tan Yee Kew bercakap pada sidang media mengenai pengundi hantu di ibu pejabat PKR, Selangor hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Julai, 2017.

LEBIH 50 pengundi tinggal di lot jualan kereta dan 12 ahli keluarga pelbagai bangsa bersesak dalam satu rumah – ini antara lebih 4,000 pengundi baharu yang dicurigai dan PKR mendakwa mereka dipindahkan dan didaftarkan di kawasan Parlimen Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Bendahari PKR Tan Yee Kew berkata jika dibiarkan tanpa diperiksa, pengundi baharu itu dengan mudahnya akan menjejaskan keputusan di kerusi Wangsa Maju pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pada 2013, PKR memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,511 undi.

Seramai 4,442 pengundi yang “dicurigai” itu sebahagian daripada 13,462 pengundi baharu yang ditambah ke daftar pengundi di Wangsa Maju antara Julai 2016 dan Mac 2017.

Daripada 13,462, seramai 7,408 ialah individu yang berdaftar sebagai pengundi baharu dengan alamat di Wangsa Maju. Baki 6,054 pengundi yang sepatutnya dipindahkan dari luar Wangsa Maju ke alamat dalam kawasan itu.

“Peningkatan pengundi yang mendadak dalam tempoh sembilan itu mendorong kami memeriksa data secara terperinci dan menjalankan kaji selidik pintu ke pintu di alamat yang mempunyai ramai bilangan pengundi berdaftar,” kata Tan.

Pasukan itu mengkaji alamat di empat daerah mengundi – Taman Melati, Seksyen 1 Wangsa Maju, Gombak Utara dan Wangsa Melati – untuk memeriksa di mana 4,804 pengundi baharu dan dipindahkan.

“Didapati di empat daerah itu, 222 rumah dan flat mempunyai jumlah pengundi terlalu ramai yang tidak normal.

“Bila sukarelawan kami pergi dan periksa, 80% daripada penghuni dan pemilik rumah beritahu mereka tidak kenal pengundi yang berdaftar di alamat berkenaan. Mereka juga mendakwa tidak tahu alamat mereka digunakan.

“Pasukan kaji selidik merumuskan 33% daripada 4,804 pengundi baharu dan dipindahkan ke empat kawasan itu seperti pengundi hantu,” katanya.

Tan berkata menggunakan kadar yang sama 33% daripada 13,462 pengundi baharu dan dipindahkan di keseluruhan Wangsa Maju, PKR merumuskan 4,442 daripadanya mungkin pengundi hantu.

PKR juga memberikan contoh jelas mereka yang disyaki pengundi hantu:

* Tujuh lelaki dan wanita Islam tinggal dalam rumah pangsa seluas 580 kaki persegi dengan dua bilik dan satu tandas. Berdasarkan nama mereka di daftar pemilih, mereka tidak bersaudara dan berasal dari negeri berlainan.

* Seorang lelaki dan empat wanita yang tidak layak mengundi awal kerana bukan anggota polis, tetapi berdaftar di balai polis Wangsa Maju Seksyen 1.

* 12 orang Melayu dan dua India berdaftar di alamat sama di sebuah rumah di Wangsa Melawati.

* 52pengundi berdaftar di dua lot di Gombak Utara. Pasukan kaji selidik mendapati alamat itu ialah lot menjual kereta.

“Sejumlah pengundi yang ramai tidak mungkin tinggal dalam satu rumah,” katanya.

Tan berkata parti itu mengenal pasti individu tertentu yang mendaftarkan 13,462 nama baharu di alamat sekitar Wangsa Maju.

“Kami beri mereka seminggu untuk tampil. Jika tidak, kami akan siarkan nama mereka dan membuat laporan polis,” katanya. – 20 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen