PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang mengambil kesempatan dalam ucapan di Parlimen hari ini untuk menyindir Dr Mahathir Mohamad berhubung pelaksanaan manifesto Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Marang itu membangkitkan tuntutan agama ke atas kewajipan memenuhi janji untuk mengulas kenyataan perdana menteri bahawa manifesto itu hanyalah panduan dan bukan kitab suci.
Dalam ucapannya di Dewan Rakyat, Abdul Hadi berkata janji dalam manifesto itu wajib dilunaskan kerana setiap kitab suci mewajibkan penganutnya menunaikan janji.
“Walaupun manifesto bukan kitab suci tapi kitab suci mewajibkan umatnya menunaikan janji,” kata Abdul Hadi ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyahut celahan Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang meminta pandangan beliau berhubung kenyataan Dr Mahathir berhubung manifesto berkenaan.
Dr Mahathir menyatakan bahawa manifesto itu bukan satu kitab suci, Isnin lalu, bagi menjawab kritikan berhubung pelantikan Speaker baharu Dewan Rakyat yang mencetus kontroversi.
Pelantikan Mohamad Ariff Yusof sebagai Speaker mencetuskan bantahan pembangkang yang bertindak keluar Dewan kerana mendakwa ia tidak mematuhi peraturan Dewan Rakyat.
Pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan itu juga bercanggah dengan janji PH dalam manifestonya yang berikrar untuk melantik Speaker dari kalangan ahli Parlimen.
Pentadbiran PH kini turut menerima tekanan untuk melaksanakan 10 janji pilihan raya mereka dalam tempoh 100 hari pentadbiran mereka. – 23 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan