SEBATANG jalan yang dinamakan bersempena nama bapanya – Jalan Mughni – menunjukkan betapa Mohd Zawawi Ahmad Mughni, bukan orang asing di Kampung Jalan Kebun di Seksyen 30, Shah Alam.
Tokoh berperawakan sederhana yang digelar “Ustaz Zawawi” itu dikenali sebagai “anak Pak Imam Mughni” salah seorang pemimpin agama tempatan yang dihormati di kawasan tersebut.
Mereka menyanjung Zawawi, yang juga imam di Masjid Al-Naim kerana mengambil berat golongan yang kurang bernasib baik di dalam kawasan itu.
“Di masjid, hasil daripada idea Zawawi ada disediakan satu gerobok khas untuk orang dermakan barang-barang yang mereka ingin sumbangkan kepada orang miskin.
“Siapa-siapa yang memerlukan barangan keperluan seperti beras, minyak masak dan sebagainya mereka boleh ambil saja di masjid,” kata Rosli Shawal, 62, yang merupakan anak jati Jalan Kebun.
Kampung Jalan Kebun dibuka sekitar 1914 oleh pendatang keturunan Jawa dari Indonesia yang meneroka hutan dan membuka tanah pertanian di kawasan itu.
Penduduk asal di sini, terutama golongan warga emas masih menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa perantara, seperti yang boleh disaksikan dalam perbualan seharian mereka.
Faktor itu jugalah yang membuatkan mereka berasa lebih dekat dengan Zawawi kerana tokoh agama itu juga boleh berbahasa Jawa.
“Ustaz Zawawi pun boleh berbahasa Jawa, tadi sebelum memulakan ucapan mukadimah dia cakap Jawa,” kata Abdul Mutalib Mohd Yusof, 45.
“Bila dia cakap Jawa orang pun suka, sebab kita rasa lebih dekat. Bahasa kan sebahagian daripada alat untuk berkempen,” kata pekerja swasta itu kepada The Malaysian Insight.
Beliau merupakan antara penduduk tempatan yang hadir dalam kempen pengetua tahfiz itu di sebuah warung di Jalan Kebun.
Kawasan berkenaan merupakan sebahagian kawasan DUN Sungai Kandis selepas persempadanan semula sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, yang dikenali sebagai Sri Muda.
Zawawi dinamakan calon untuk pilihan raya kecil kawasan DUN itu yang akan berlangsung 4 Ogos, susulan kerusi itu kosong selepas kematian penyandang Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Mutalib berkata beliau turut mengingati Zawawi sebagai individu yang turut membantu memperkenalkan Shuhaimi di kawasan Jalan Kebun dalam kempen pilihan raya sebelum ini.
Ini memandangkan Shuhaimi lebih dikenali di kawasan Sri Muda berbanding kawasan tersebut.
Berbeza dengan PH yang meletakkan calon tempatan, Barisan Nasional (BN) mengetengahkan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam yang berasal dari Johor, sebagai calon mereka di kerusi itu.
Ditanya mengenai perkara itu, kebanyakan pengundi tempatan yang ditemui mengakui mereka lebih mengenali Zawawi secara dekat berbanding Lokman.
“Kita jumpa Ustaz Zawawi beri kuliah di masjid, isteri dia pun ada jawatan dalam organisasi muslimah di masjid. Lokman kita tak berapa kenal lagi,” kata Mutalib.
Bagi Mokhtar Mohd Kassim, 68, pula, beliau lebih menyukai Zawawi yang merupakan anak jati kawasan tersebut dan mempunyai ketokohan daripada aspek keagamaan dan kemasyarakatan.
Perkara itu malah membuatkan beliau bangga kerana Zawawi dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini.
“Kita rasa bangga Ustaz Zawawi jadi calon, belum pernah lagi anak jati jadi calon, walau apa pun orang kata, undi tetap Ustaz Zawawi.
“Ustaz Zawawi serba serbi cukup, tiada isu, tiada masalah, ceritalah buruk macam mana pun, saya akan tetap pangkah dia,” katanya.
Selain Zawawi dan Lokman, turut bertanding dalam pilihan raya kecil itu calon Bebas, K. Murthy.
Ini merupakan pilihan raya kecil pertama yang diadakan selepas pilihan raya pada 9 Mei. – 23 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan