POKOK getah tak tertoreh, kelapa sawit terbiar busuk dan pembinaan jalan raya terhenti.
Itu antara kesan awal operasi pembersihan besar-besaran dilakukan kerajaan baharu terhadap pekerja asing tanpa izin yang menyebabkan banyak perniagaan terjejas.
PH menyalahkan industri pengambilan pekerja asing dan hubungannya dengan pemimpin BN yang dakwa mereka memenuhkan pasaran kerja dengan tenaga kerja murah.
Tetapi sekarang, politikus dan kumpulan yang bekerja dengan pekerja asing meminta supaya penangguhan sementara dikenakan ke atas tindakan pembersihan pekerja asing, dikenali sebagai Ops Mega 3.0. Mereka mendakwa pekerja asing dengan dokumen sah juga ditangkap pihak berkuasa.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan North-South Initiative (NSI) mengecam cara pekerja asing ditahan yang “digari dan ditanda seperti binatang” secara tidak berbudi bahasa.
Mereka mendakwa pekerja asing yang membawa pasport dan dokumen perjalanan yang sah turut dihumban bersama-sama pekerja asing tanpa izin dan dihantar ke Putrajaya untuk diproses.
Cara serbuan ini dilakukan, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), menyebabkan produktiviti kerja terjejas kerana perniagaan terpaksa dihentikan dan majikan terpaksa bergegas ke Putrajaya untuk membebaskan pekerja mereka.
“Kita tak lawan pelaksanaan (bersihkan pekerja asing) tetapi ia perlu dijalankan dengan baik. Kita dapat aduan yang pekerja asing sah pun ditahan.
“Ini memberi kesan kepada operasi (perniagaan) terutama di sektor perladangan dan pembinaan di mana ramai pekerja tanpa dokumen diambil bekerja,” kata Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan.
Santiago berkata MEF dan kumpulan yang arif mengenai isu pekerja asing sudah lama memberi amaran yang salah laku ini akan berlaku jika kerajaan bertegas hendak meneruskan serbuan terhadap pekerja asing yang bermula sejak Januari.
“Pegawai imigresen tidak wajar melayan pekerja asing seperti binatang, walaupun mereka tidak ada dokumen kerana mereka adalah mangsa sistem sedia ada di negara ini,” kata Santiago.
“Salah guna kuasa dan sikap tidak hormat maruah manusia yang terang-terangan ini tidak boleh berterusan.”

Sifar tolak ansur, sifar produktiviti
Dalam manifesto pilihan rayanya, kerajaan PH berkata mereka akan mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini secara berkala. Salah satu langkah untuk memperkasakan pekerja warga Malaysia dan membentuk sejuta pekerjaan yang berkualiti.
Menteri Kabinet seperti M Kula Segaran berkata tidak ada tolak ansur terhadap majikan yang ditangkap melanggar undang-undang pengambilan pekerja asing.
Sebagai tanda keseriusan pentadbiran baharu terhadap isu ini, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin sendiri terlibat dalam serbuan ke atas pekerja asing di Petaling Street, Kuala Lumpur pada hujung Mei lalu.
Dalam kenyataan dikeluarkan pada 9 Julai, Jabatan Imigresen berkata ia sudah menahan 22,126 pekerja asing tanpa izin kerana pelbagai kesalahan antara 1 Januari sehingga 7 Julai. Turut ditahan adalah 585 majikan.
Mereka adalah antara 91,650 pekerja asing yang diperiksa dalam 7,477 serbuan di seluruh negara.
Indonesia berada di tangga teratas seramai 7,327, diikuti warga Bangladesh (4,482), Filipina (2,237), Mynamar (2,188), selebihnya dari negara-negara lain.
Daripada 22,000 yang ditahan, 1,475 ditahan ketika Ops Mega 3.0.
Walaupun kecil, perniagaan jenis ini membentuk 73% daripada perniagaan kecil dan sederhana (SME). 98% syarikat Malaysia adalah SME.
Perniagaan kecil ini seperti pemilik ladang getah dan kelapa sawit, kebanyakannya terletak di Malaysia Timur yang tidak berjaya menarik minat warga Malaysia untuk bekerja dengan mereka. Dalam sektor perniagaan, mereka adalah sub-kontraktor seperti tukang paip dan elektrik, kata Shamsuddin.
Pekerja asing tanpa izin yang tidak ditangkap ketika serbuan sudah menyembunyikan diri, katanya.
“Dalam sektor perladangan ia menyebabkan buah-buahan dan pokok tidak dituai,” kata Presiden Persatuan Pekebun Kecil Nasional Aliasak Ambia.
Katanya, 49% daripada 420,000 ladang getah kecil terjejas disebabkan kekurangan pekerja asing.
“Ada pokok matang yang tidak ditoreh kerana majikan tidak cukup pekerja untuk menorehnya,” kata Alias kepada The Malaysian Insight.
Dalam sektor pembinaan, pemaju terpaksa membayar denda lewat kerana projek mereka tertunda disebabkan kekurangan pekerja, kata Shamsuddin.
“Industri pembinaan selalunya menggaji hampir 400,000 pekerja asing dengan izin. Tetapi jumlah pekerja asing tanpa izin mencecah 800,000.”
Syarikat pembinaan besar selalunya mematuhi undang-undang. Tetapi “sub-sub kontraktor” yang kecil, mereka yang berada pada kedudukan terendah dalam rangkaian perniagaan selalu mengambil pekerja asing tanpa izin.
“Mereka juga menggunakan pekerja tanpa izin kerana mereka sendiri mungkin tidak ada lesen perniagaan yang sah atau kerana mereka tak mampu bayar levi dan caj dikenakan untuk ambil pekerja asing dengan sah,” kata Shamsuddin. – 23 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Mohd Zaidi Manas · Ulasan