Siswa Gamis berdemo bantah UEC di Kuala Lumpur


Sekumpulan kira-kira 100 orang pelajar universiti berhimpun petang ini bagi bantahan ke atas pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk kemasukan ke universiti awam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2018.

SEKUMPULAN kira-kira 100 orang pelajar universiti berhimpun petang ini bagi bantahan ke atas pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk kemasukan ke universiti awam.

Peserta perhimpunan anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) itu berhimpun di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada kira-kira jam 5 petang.

Kalangan peserta yang memakai baju hitam dan ikat kepala merah itu turut membawa poster dengan slogan “Bantah UEC”.

Laporan Utusan Malaysia menyebut, kalangan peserta itu terdiri daripada penuntut Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Gamis ketika mengumumkan hasrat mereka untuk berdemo pada 14 Julai lalu antara lain menyebut, pengiktirafan UEC tidak berasas dan menimbulkan lagi jurang sosio-masyarakat Malaysia. 

“Pengiktirafan ini bukan sahaja memecahkan perpaduan kaum, malah menimbulkan kegusaran ramai pihak (ke atas kemampuan) kerajaan Pakatan Harapan menjadikan pendidikan sebagai simbol penyatuan masyarakat majmuk di Malaysia,” kenyataannya dipetik.

Ia merupakan demonstrasi pertama yang dilancarkan berhubung isu tersebut selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan.

Susulan bantahan keras pelbagai pihak dan juga tuntutan daripada kumpulan pelopornya, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada 15 Julai lalu mengumumkan bahawa perkara itu masih dalam kajian.

PH dalam manifestonya berjanji untuk mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki IPTA dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM.

Antara universiti yang menerima UEC sebagai kelayakan asas adalah Oxford University, University of Cambridge, Australian National University, Kyoto University, California Institute of Technology, dan Peking University.– 21 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • I really don't know what you are fighting for. look around how many of them without spm dan not graduate from local university in Government sector, including current and past Ministers

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Philip chong · Ulasan