PENGERUSI Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri China Li Keqiang dan Menteri Luar China, Wang Yi In di Beijing bagi mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara.
Daim juga menyerahkan sepucuk surat daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Li.
Dalam pertemuan itu, Daim menyebut mengenai hubungan persahabatan antara kedua negara, kepentingannya kepada Malaysia dan pemahaman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai China.
“Dr Mahathir berharap untuk mengadakan lawatan ke China secepat mungkin untuk berbincang dengan pemimpin China mengenai rancangan kerjasama di masa depan,” kata beliau.
Dr Mahathir dilaporkan bercadang untuk berkunjung ke China pada bulan depan, namun belum mengumumkan sebarang tarikh.
Lawatan Daim ke China adalah susulan keputusan Putrajaya untuk menangguhkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berikutan kos akhir projek itu dilaporkan bernilai RM80.92 bilion, naik hampir 80% daripada kos awalnya iaitu RM46 bilion.
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu dua syarikat yang dikaitkan dengan projek-projek melibatkan China - ECRL dan projek Paip Multi-Produk (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP).
Kontraktor bagi projek yang dicadangkan oleh kerajaan Barisan Nasional itu ialah syarikat China, China Communications Construction Company (CCCC).
Menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman web kementerian luar negara itu, Wang berkata Malaysia dan China mempunyai perkongsian strategik yang komprehensif dan pragmatik.
Beliau juga berkata hubungan dua hala kedua-dua negara kini berada pada “titik permulaan bersejarah”.
Tambahnya lagi, China sanggup mengukuhkan hubungan pembangunan strategik dengan Malaysia dan mendalami kerjasama dalam projek One Belt One Road.
Wang turut berminat untuk meningkatkan lagi kerjasama yang memberi keuntungan dengan Malaysia dan memperbaiki kerjasama dan koordinasi dalam hal antarabangsa dan serantau untuk kebaikan kedua-dua negara di samping melancarkan pembangunan serantau.
Malaysia juga menghantar delegasi ke Beijing untuk merunding semula kontrak ECRL dan dua projek saluran gas di bawah Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER). – 18 Julai, 2018.
Komen