Syarikat berkaitan projek paip minyak, ECRL diserbu SPRM


Alfian Z.M. Tahir

Gambar menunjukkan tapak pembinaan ECRL di Bentong, Pahang. Pagi tadi, SPRM menyerbu dua syarikat yang berkaitan dengan tiga projek kontroversi pentadbiran terdahulu termasuklah ECRL. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2018.

DUA syarikat yang mempunyai kaitan dengan Projek Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP), Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber agensi anti korupsi negara itu berkata serbuan dilakukan pagi tadi, tetapi tidak memberikan butiran terperinci mengenainya.

“Ya kami serbu syarikat itu. Ia berlaku pagi tadi,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Serbuan berlaku ketika Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin berada di Beijing untuk berjumpa pegawai China membincangkan projek berkenaan.

Pada 3 Julai lalu, Kementerian Kewangan mengeluarkan notis penangguhan untuk semua kontrak berkaitan MPP, TSGP dan ECRL

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan penangguhan itu pada 5 Julai, menjelaskan yang “keputusan itu hanya dikenakan kepada kontraktor berkaitan dengan peruntukan disebut dalam perjanjian, dan bukannya kepada mana-mana negara.”

Projek MPP dan TSGP dengan jumlah kos pembinaan mencecah RM9.4 bilion diberikan kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) pada 1 November 2016.

Bagaimanapun, sebelum itu Lim mendedahkan yang walaupun hanya 13% kerja disiapkan, sudah 85% bayaran projek dibayar setakat 1 Mac 2018.

MPP melibatkan projek paip petroleum sepanjang 600km dari Melaka dan Port Dickson ke Jitra, kedah. TGSP pula adalah projek paip petroleum sepanjang 662km dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau.

Pada 2016, ECRL dianugerahkan kepada China Communications Construction Company Limited China (CCCC) selaku kontraktor utama yang menandatangani MoU dengan Malaysia Railway Link Sdn Bhd (MRL).

Kawasan pembinaan landasan yang bermula di Gombak, Selangor ke Wakaf Baru, Kelantan pada mulanya bernilai RM46 bilion tetapi dianjakkan oleh pentadbiran terdahulu menyebabkan kos projek meningkat kepada RM80.92 bilion meliputi faedah, bayaran perolehan tanah dan lain-lain kos operasi.

Pada 2017, dua syarikat China menandatangani MoU dengan syarikat Malaysia untuk pelaksanaan fasa kedua ECRL dan projek infrastuktur paip petroleum ke Pengerang, Johor.

Dua syarikat Malaysia yang menandatangani MoU itu adalah MRL dan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER).

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh bekas perdana menteri Najib Razak, bekas menteri pengangkutan Liow Tiong Lai dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Rahman Dahlan. – 18 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen