Khabar angin Tsunami Melayu hanya untuk takutkan Cina, kata pemimpin MCA


KHABAR angin mengenai tsunami Melayu yang dibawa pembangkang hanya taktik untuk menakut-nakutkan pengundi Cina, kata pemimpin Pemuda MCA, lapor The Star.

Chong Sin Woon berkata dakwaan itu hanya untuk menakutkan pengundi Cina dan kemudiannya mengundi pembangkang kerana mereka percaya pengundi Melayu yang tidak berpuas hati juga akan berbuat demikian.

“Pembangkang sebenarnya bimbang semakin ramai pengundi Cina menyokong Barisan Nasional.

“Ia dibuktikan melalui pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar dan juga kaji selidik yang dibuat MCA dan DAP,” katanya.

Chong yang juga timbalan menteri pendidikan berkata sejak dua tahun lalu hasil kajian MCA menunjukkan 35% pengundi Cina menyokong BN – peningkatan berbanding 2013 antara 15% dan 20%.

Katanya, BN dan MCA akan lebih baik pada pilihan raya akan datang dengan peningkatan sokongan pengundi Cina.

Beliau berkata DAP yang menyedari hakikat itu menerusi kajian yang dijalankan, menjadi semakin bimbang.

Chong turut mengaitkan penurunan itu dengan kematian pengerusi DAP Karpal Singh yang terbabit dalam kemalangan pada 2014, dan juga kekecewaan pengundi Cina yang memberi sokongan kepada pembangkang selama dua penggal.

“Dengan kematian Karpal, DAP mengorbankan nilai mereka dan sedia bekerjasama dengan individu seperti Dr Mahathir Mohamad, dan ini juga punca kemarahan orang ramai,” katanya dan menambah ada wakil rakyat pembangkang yang dipilih jarang turun padang. – 18 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen