SEORANG aktivis kanak-kanak dihormati ramai adalah individu terbaru menyertai banyak pihak yang lantang bersuara menentang perkahwinan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, mendakwa lelaki itu melakukan pengantunan seksual kanak-kanak.
Hartini Zainudin, pengasas bersama Yayasan Chow Kit juga mengecam ibu bapa gadis itu yang cuai dan meletakkan anak mereka sendiri dalam bahaya.
Beliau membuat laporan polis pada 2 Julai lalu dan dipanggil hari ini untuk memberikan keterangan.
Beliau membangkitkan laporan media yang mengatakan lelaki itu telah berkawan dengan gadis sunti itu sejak usianya tujuh tahun.
“Dia nampaknya melanggar peruntukan kesalahan seksual terhadap gadis warga Thailand itu dengan berkawan dengannya bertahun lamanya dengan niat melakukan penderaan seksual.
“Dia memang jadikan budak itu sasaran sejak bertahun, sejak dia tujuh tahun. Dan media laporkan yang dia mula rapat dengan budak itu sejak umurnya sembilan tahun.
“Mereka berkahwin ketika budak itu berusia 11 tahun, dan budak itu kata dia sayangkan lelaki itu. Apa yang berlaku antara tujuh dan 11 tahun yang menyebabkan perkara ini? Jelas sekali pengantunan adalah niatnya.
“Dia melakukan pengantunan kanak-kanak dengan matlamat akhir melakukan tindakan seksual kepadanya,” kata Hartini kepada The Malaysian Insight.
Lelaki itu berkahwin dengan gadis itu dalam satu majlis di Thailand pada 18 Jun lalu tanpa persetujuan isteri pertama dan keduanya.
Gadis itu dan ibu bapanya mendakwa perkahwinan itu atas persetujuan bersama.
Sebelum ini, polis berkata mereka hanya akan menyiasat lelaki itu jika wujud unsur jenayah. Minggu lepas, lelaki itu didenda RM1,800 oleh Mahkamah Syariah Gua Musang kerana berkahwin dan melakukan poligami tanpa mendapat persetujuan mahkamah.
Hartini berkata denda itu tidak cukup dan dakwaan jenayah perlu dikenakan.
Dalam laporan polisnya, Hartini yang juga naib presiden Voice of Children menggesa polis menyiasat lelaki itu dibawah Seksyen 12,13 dan 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Soac) 2017.
Peruntukan seksyen itu menghalang pengantunan kanak-kanak, pertemuan selepas pengantunan berlaku dan menghukum mereka yang menjalinkan hubungan dengan kanak-kanak.
Hukuman yang dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah untuk tiga peruntukan itu adalah hukuman penjara sehingga 15 tahun dan tidak kurang daripada dua sebatan.
Hartini juga mahu polis menyiasat ibu bapa gadis sunti itu di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian dan membenarkan kanak-kanak berada dalam situasi merbahaya.
“Kes ini adalah gambaran banyak kes. Kita nampaknya marah, tapi tak cukup marah untuk bertindak.”
“Kita kata kita ada semua undang-undang ini yang hebat, tetapi tak banyak kita buat untuk lindungi anak-anak kita,” katanya menambah yang “rasa mudah puas hati dan sikap acuh tak acuh” pembuat dasar juga perlu disalahkan.
“Ini bukan soal agama. Kita tak singgung agama. Ini adalah soal kesalahan seksual terhadap seorang kanak-kanak.
“Dia patut berada di sekolah. Dia patut jadi kanak-kanak. (Tetapi) seorang lelaki umur 41 tahun ambil kesempatan. Sangat mengejutkan.” – 15 Julai, 2018.
Komen