Lelaki kahwin budak 11 tahun didenda RM1,800


Rumah keluarga kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu di Gua Musang, Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2018.

MAHKAMAH Syariah Kelantan hari ini mendenda peraih getah sekerap yang memperisterikan budak perempuan berumur 11 tahun sebanyak RM1,800 kerana berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Hakim Syarie Gua Musang Mohd Surbaineey Hussain mendenda tertuduh RM900 bagi setiap kesalahan selepas lelaki itu mengaku bersalah bagi kedua-dua pendakwaan.

The New Straits Times melaporkan Che Mohd Karim Che Hamid didakwa mengikut Seksyen 19 dan Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau dua bulan penjara.

Sekyen 19 menyatakan bahawa tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan melainkan mendapat kebenaran dari pendaftar atau hakim syarie, manakala Sekyen 124 melarang poligami tanpa kebenaran mahkamah.

Berita mengenai perkahwinan bawah umur itu tersebar selepas isteri kedua Che Abdul Karim mendedahkannya di media sosial pada bulan lepas. Budak perempuan itu adalah isteri ketiga Che Abdul Karim.

Effa, isteri kedua Che Abdul Karim mengugut untuk bercerai.

“Lebih baik anak-anak menderita daripada tengok kawan jadi ibu mereka,” tulis Effa di facebook.

Bagaimanapun, aktivis hak kank-kanak telah mendesak kerajaan supaya menyiasat perkahwinan itu dan mengkaji semula undang-undang perkahwinan sedia ada bagi melindungi hak kanak-kanak. – 9 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen