ISU kritikal Sarawak seperti pengembalian hak negeri, tuntutan Petronas ke atas sumber minyak dan gas negara dan persoalan sama ada kerajaan Pakatan Harapan menghormati janji pentadbiran terdahulu untuk melaksanakan projek termaktub dalam Bajet 2018 tidak dibangkitkan dalam taklimat tertutup untuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Kuching hari ini.
Sumber yang menghadiri pertemuan itu bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight yang perdana menteri membangkitkan soal halangan pembangunan di Sarawak disebabkan penghijrahan luar bandar ke bandar yang tinggi, kos tinggi pembinaan jalan raya di negeri itu, keperluan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan penggunaan sisa isa rumah untuk menjana tenaga.
Perdana menteri juga memberikan pandangannya tentang bagaimana sumber alam semulajadi negeri boleh diteroka terutamanya sungai dan tanah.
“Perdana menteri banyak mendengar, bertanya beberapa soalan,” kata sumber.
Bagaimanapun dalam video yang dirakam sumber dan dikongsi dengan The Malaysian Insight dalam taklimat di Wisma Bapa Malaysia, di Petrajaya sebelum perdana menteri pulang ke Semenanjung, beliau didengar berkata: “Kita ada banyak sumber tetapi idea tentang bagaimana sumber ini dieksploitasi perlu dikaji.” – 15 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jessi Jane · Ulasan