Bersatu ke Sarawak: Mandi biarlah basah


Awang Azman Awang Pawi

HASRAT Bersatu merancang untuk ke Sarawak umpama situasi langkah Umno ke Sabah hampir 27 tahun yang lalu. Ketika itu, Umno ke Sabah atas jemputan parti Usno pimpinan Mustapha Datu Harun.

Umno ke Sabah penting bagi Mustapha ketika itu kerana Usno berdepan masalah untuk melebarkan pengaruh antaranya kerana kekurangan dana.  Usno ketika itu sudah 14 tahun jadi pembangkang dan parti Bumiputera Muslim itu gagal menubuhkan kerajaan sejak 1985.

Apabila Umno ke Sabah, parti itu meminda perlembagaannya dan membenarkan anak negeri tanpa mengira latar belakang agama dan suku untuk jadi ahli parti.

Namun dalam konteks Bersatu ke Sarawak, tidak dinyatakan secara khusus jemputan atau permintaan pihak mana. Namun menurut Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad, terdapat permintaan daripada rakyat Sarawak dan parti-parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) juga sudah pun bertapak di Sarawak.

Yang penting, langkah ini dilihat usaha Bersatu untuk memperkukuhkan kekuatan parti. Setakat ini Bersatu hanya memiliki 13 kerusi dan dilihat perlu menambahkan kemenangan untuk terus dilihat relevan dalam politik tanah air.

Hal ini perlu dikhuatirkan kerana PKR mempunyai 50 kerusi Parlimen manakala DAP pula mempunyai 42 kerusi. Umno pula mempunyai 51 kerusi Parlimen.

Kesemua ini semacam tekanan buat Bersatu untuk memperluaskan pengaruh ke Sarawak.

Kedudukan Sarawak strategik

Sarawak dilihat bukan sahaja negeri yang mempunyai kekayaan sumber asli yang belum diterokai sepenuhnya. Sebaliknya, mempunyai jumlah kerusi yang besar, iaitu 31 kerusi Parlimen dan 82 kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Mana-mana parti yang menguasai arena politik Sarawak mampu menjadi “king maker” atau kumpulan pendesak yang berpengaruh.

Namun Sarawak masih dikuasai Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang baru keluar dari Barisan Nasional. GPS ini diketuai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang menguasai 19 kerusi Parlimen dan 72 daripada 82 kerusi DUN.

PKR dan DAP kini masing-masing mempunyai 6 kerusi Parlimen manakala Amanah sudah bertapak di Sarawak. Apabila PH merupakan parti pemerintah dan Sarawak kini merupakan negeri pembangkang, maka peluang menembusi dan menawan negeri Sarawak lebih cerah.

Formulanya, 12 kerusi Parlimen ini didarabkan dengan 2.5, iaitu mengambil kira terdapat sebuah kawasan Parlimen mempunyai dua atau tiga kerusi negeri.

Jadi, bagi formula kuasa politik Sarawak untuk memperoleh 30 kerusi DUN khususnya di kawasan Parlimen dikuasai PH ini sangat cerah sekiranya menguasai kearifan politik tempatan Sarawak.

Malah peluang mensasarkan 15 buah kerusi DUN tambahan boleh dilakukan dengan strategi politik yang ampuh. Hal ini bermakna, 30 kerusi dan 15 kerusi tambahan disasarkan berupaya membentuk kerajaan baru di Sarawak.

Sekiranya memperoleh 45 kerusi daripada 82 kerusi bermakna, PH boleh mencipta sejarah baru politik Sarawak menubuhkan kerajaan baharu.

Namun mampukah PH membawa perubahan ke arah ini sejajar dengan sentimen dan akal budi rakyat Sarawak yang selama ini sudah lama di bawah BN dan parti berasaskan tempatan?

Membina hegemoni baharu

Namun percaturan politik ini tertakluk kepada kepimpinan Bersatu di Sarawak sendiri. Persoalan pentingnya, siapakah tokoh peneraju Bersatu di Sarawak. Hal ini mustahak kerana bukan mudah untuk menembusi minda dan naratif rakyat Sarawak yang berbilang etnik.

Sekiranya Bersatu berjaya menarik beberapa orang pimpinan tertinggi PBB yang berkualiti dan berintegriti tinggi untuk menyertai parti, ia boleh mempercepatkan usaha Bersatu menembusi wilayah politik di Sarawak.

Namun setakat ini usaha ini sukar kerana budaya politik taat setia PBB sehingga kini begitu kuat dan tidak mudah ditembusi melainkan ada konflik politik besar dalam PBB yang tidak dapat dielakkan.

Tokoh dan kumpulan yang mahu menggerakkan Bersatu di Sarawak perlu mempunyai pengalaman luas dalam politik negeri. Kelompok ini juga perlu mempunyai wawasan dan nilai integriti tinggi agar dipercayai dan dihormati khususnya oleh golongan bumiputera Sarawak.

Penanda aras Bersatu ialah kualiti pemimpin mereka di Sarawak mesti lebih baik daripada mana-mana pemimpin GPS.

Aspek ini juga perlu mencerminkan pemilihan calon pada pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka akan diadakan pada atau sebelum tahun 2021. Faktor pemilihan calon untuk mewakili Bersatu penting untuk memastikan calon mereka mampu bersaing dengan PBB, PRS dan PDP.

Calon pilihan akar umbi dengan kompromi pimpinan tinggi parti pusat dan negeri perlu meletakkan aspek populariti, dikenali, berintegriti, mampu menyelesaikan masalah rakyat, berpendidikan tinggi dan merupakan anak tempatan.

Ini semua akan menentukan hidup mati Bersatu di Sarawak. Hakikatnya, isu setempat dan pemilihan calon ialah punca kekalahan 6 kerusi bumiputera baru-baru ini.

Politik Zon

Politik Sarawak perlu dilihat dalam konteks zon, iaitu zon utara, tengah dan selatan. Setiap zon tersebut mempunyai pemimpin-pemimpin atau wira politik tertentu yang merupakan anak tempatan yang menguasai zon tersebut sebagaimana dapat dilihat penguasaan PBB dalam setiap zon tersebut khususnya di kawasan bumiputera.

Jadi, Bersatu perlu melihat strategi ini sebagai langkah untuk memperkuatkan parti di setiap zon tersebut.

Pada masa yang sama, sejauh manakah Bersatu dapat menjadi pengganti kepada parti-parti yang bernaung di bawah GPS?

Parti PBB misalnya sudah lama bertapak dan menguasai minda rakyat bumiputera hingga sukar mereka membayangkan tanpa PBB seolah-olah tidak akan dapat membentuk kerajaan negeri Sarawak.

Bersatu perlu memahami isu-isu setempat seperti tanah adat bumiputera, isu politik pembangunan dan kaitan dengan isu kemudahan infrastruktur. Pada masa yang sama perlu mengelak terjebak daripada mentaliti tong biru sebagai penyelesai masalah.

Mereka perlu tiga langkah ke depan dalam menjuarai usaha menyelesaikan masalah rakyat dan memberikan kesejahteraan hidup kepada penduduk kawasan mereka.

Stigma politik Bersatu dari Semenanjung Malaysia dan dianggap parti politik luar yang cuba campur tangan politik di Sarawak ialah antara isu terbesar yang perlu ditangani oleh pimpinan parti. Pengalaman Umno ke Sabah yang berjaya menghapuskan stigma tersebut ketika mula bertapak di negeri itu perlulah dipelajari dengan pantas.

Sudah pasti, Bersatu dijangka akan meminda perlembagaan parti bagi membolehkan bumiputera bukan Islam menjadi ahli parti dan bertanding pada pilihan raya akan datang.

Imbangan politik PBB yang menjadi teras perpaduan dalam agihan dari segi etnik dari segi pelantikan jawatan politik, kuota zon dan sebagainya perlu diteliti oleh pimpinan tertinggi Bersatu untuk parti itu berjaya menembusi Sarawak.

Bak kata peribahasa, alang-alang seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan atau kalau mandi biarlah basah perlu dihayati agar Bersatu tidak bekerja sekerat jalan untuk mengembangkan sayap ke Sarawak.

Bersatu perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan termasuk dari komponen PH sendiri yang sudah pasti tidak akan memberikan tempat yang mudah kepada Bersatu di Sarawak.

Hal ini kerana PKR, DAP dan Amanah sudah mengenal pasti dan bertanding di kawasan-kawasan kubu kuat mereka yang mempunyai potensi tinggi untuk dimenangi.

Tambahan pula, komponen ini sudah lama bertapak, berkhidmat di kawasan mereka masing-masing di Sarawak. Persaingan membuka cawangan di kawasan dan membina pengaruh panas semakin panas sesame mereka menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Persaingan tidak sihat ini mampu memberikan peluang PBB atau GPS menang sekiranya masih lagi terlibat dalam pertandingan tiga penjuru konteks Sarawak. – 15 Julai, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen