BEKAS Peguam Negara Mohamed Apandi Ali menolak pelantikannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno kerana merasakan jawatan tersebut “tidak wajar” beliau terima.
Dalam satu kenyataan media, Apandi berkata, beliau khuatir pelantikan itu akan dikaitkan dengan tindakan dan keputusannya sebelum ini semasa jadi hakim dan Peguam Negara.
“Setelah berfikir semasak-masaknya, dan dengan mendalam, saya berasa adalah tidak wajar untuk menerima pelantikan sebagai Ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) Umno.
“Apa yang bermain di fikiran saya adalah pelantikan tersebut akan diselubungi dengan pelbagai persepsi negatif yang mungkin dikaitkan dengan apa jua tindakan dan keputusan saya semasa menjalankan tugas sebagai seorang hakim dan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan Apandi antara 11 lantikan baru ke dalam Majlis Tertinggi Umno selepas pemilihan parti pada 30 Jun lepas memilih 25 ahli badan pengurusan parti itu.
Pelantikan Apandi itu bagaimanapun mendapat reaksi negatif termasuk dalam kalangan pemimpin Umno, misalnya Ketua Pemuda Umno Kedah, Hazizy Zainol Abidin yang menyifatkan parti Melayu itu masih belum belajar daripada kekalahan dalam pilihan raya umum yang lepas.
Apandi dalam reaksi awalnya berkata beliau komited untuk membantu Umno terutamanya dari aspek perundangan, berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang ada padanya.
“Saya terima dengan baik jawatan tersebut dan setelah tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan sama ada sebagai hakim atau Peguam Negara, maka saya boleh berkecimpung dalam bidang politik.
“Terima kasih. Alhamdulillah, barulah dapat berjuang di atas nama parti keramat yang tercinta. Maka saya akan bersuara, berhujah sebab Umno memerlukan kepakaran saya dalam bidang perundangan dan saya bersedia memberi tunjuk ajar,” katanya, seperti dipetik Utusan Online.
Kepada New Straits Times, Apandi sebelum itu juga berkata, pelantikan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi adalah “satu penghormatan” dan penglibatannya semula dalam Umno diibaratkan seperti “ikan pulang ke lubuk.”
Apandi dipetik berkata pelantikannya itu tidak harus jadi isu kerana beliau bukan lagi Peguam Negara, dan beliau juga ada hak untuk berpersatuan, merujuk kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Lama dulu, saya ahli Umno. Apabila saya menganggotai Majlis Peguam, saya tinggal parti,” katanya, seperti dipetik portal New Straits Times.
Apandi dilaporkan jadi ahli Umno antara 1982 hingga 1992 sebelum menganggotai Majlis Peguam antara 1991 hingga 2003. Beliau kemudian dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman sebelum diangkat sebagai hakim seterusnya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Beliau dilantik sebagai Peguam Negara pada Julai 2015 sebelum digantikan dengan Tommy Thomas pada 5 Jun lepas. – 14 Julai, 2018
Komen