BEKAS peguam negara Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, antara 11 ahli lantikan dalam badan tertinggi parti itu yang diumumkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Zahid turut mengumumkan pelantikan Annuar Musa sebagai setiausaha agung Umno yang baharu menggantikan Tengku Adnan Tengku Mansor yang dinamakan sebagai bendahari.
Tempat Annuar sebelum ini sebagai ketua penerangan diisi oleh Shamsul Anuar Nasarah, yang juga ahli Parlimen Lenggong sejak 2008, sementara Mohd Sumali Reduan dilantik sebagai setiausaha kerja parti. Sumali sebelum ini pernah jadi setiausaha kerja Pemuda Umno Malaysia.
Utusan Online melaporkan Apandi menyuarakan penghargaan kerana dilantik dan bersedia berjuang “atas nama parti keramat yang tercinta.”
“Saya terima dengan baik jawatan tersebut dan setelah tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan sama ada sebagai hakim atau Peguam Negara, maka saya boleh berkecimpung dalam bidang politik.
“Terima kasih. Alhamdulillah, barulah dapat berjuang di atas nama parti keramat yang tercinta. Maka saya akan bersuara, berhujah sebab Umno memerlukan kepakaran saya dalam bidang perundangan dan saya bersedia memberi tunjuk ajar,” katanya dipetik akhbar pro pembangkang itu.
Zahid dalam pengumuman hari ini berkata pelantikan ini menyusul pemilihan parti yang berlangsung baru-baru ini yang beliau sifatkan sebagai “langkah pertama Umno menuju pembaharuan agar parti terus relevan” selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas.
“Saya komited untuk merekayasa dan memperjuangkan kepentingan negara bersama dengan jajaran pimpinan baharu Umno berlandaskan Perlembagaan Malaysia dan Piagam Umno seperti terkandung dalam Perlembagaan Umno sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
10 ahli Majlis Tertinggi lantikan yang lain termasuk tiga dari Sabah iaitu bekas calon ketua Wanita Umno yang kalah dalam pemilihan lalu, Azizah Mohd Dun dan Ketua Umno Bahagian Tuaran Hajiji Noor dan Ketua Umno Bahagian Kimanis Anifah Aman.
Bekas calon naib presiden Umno Tajuddin Abdul Rahman yang juga ketua Umno Bahagian Pasir Salak turut dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi, bersama seorang lagi pemimpin dari Perak, Ahli Dewan Undangan Negeri Slim River Mohd Khusairi Abdul Talib. Khusairi juga adalah bekas pengerusi Finas dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang lepas.
Ketua Umno Bahagian Hulu Langat Johan Abdul Aziz yang kalah pemilihan jawatan Ahli Majlis Tertinggi juga dilantik ke badan tinggi parti itu, selain Ketua Umno Bahagian Lipis Abdul Rahman Mohamad.
Tiga lagi ahli Majlis Tertinggi lantikan ialah ketiga-tiga Naib Ketua sayap iaitu Norliza Abdul Rahim (Wanita), Shahril Sufian Hamdan (Pemuda) dan Nurul Amal Mohd Fauzi (Puteri).
Dua calon presiden Umno yang kalah, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah tidak dilantik menganggotai Majlis Tertinggi. Khairy sebelum ini mengumumkan tidak mahu memegang sebarang jawatan kerana “mahu bebas” menyuarakan pandangan mengenai parti.
Kritikan bekas ketua Pemuda Umno itu beberapa hari lalu, mengenai Umno yang dirasakannya semakin konservatif dan liat hendak berubah, mendapat reaksi bercampur dalam kalangan pemimpin dan ahli Umno. – 14 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan