BARISAN kepimpinan Majlis Tertinggi (MT) Umno menunjukkan seolah-olah parti Melayu itu masih belum belajar daripada kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan masih kekal dengan strategi politik lama pimpinan mantan presiden Najib Razak.
Pelantikan beberapa nama dalam kepimpinan tertinggi parti itu hari ini turut menerima kritikan daripada kepimpinan Umno di akar umbi yang melihatnya sebagai resepi untuk menjauhkan rakyat daripada parti.
“Nampak jelas, Umno begitu terpukau dengan model dan strategi politik lama. Kalangan mereka yang terbukti gagal membantu parti dalam PRU14 yang baru lalu masih dipertahan. Ini bukanlah ‘pasukan Umno’ yang komited dengan agenda perubahan.
“Strategi melantik bekas peguam negara ke dalam MT juga kelihatan cukup terdesak dan bersifat tangkap muat.
“Rakyat tahu peranan beliau dalam skandal terdahulu, melantik individu tersebut bukan sahaja satu kesilapan politik, malah menzahirkan kelemahan ketara parti melahirkan bakat dalaman untuk bersaing dengan kerajaan,” kata Ketua Pemuda Umno Kedah Hazizy Zainol Abidin.
Pelantikan itu juga katanya membuktikan “dendam politik” masih wujud dalam percaturan pasukan baru ini dan merupakan tindakan yang mengecewakan di sebalik kata-kata manis mahu mewujudkan politik berasaskan wadah kekitaan dan semangat keterangkuman.
“Maaf cakap, ini bukan pasukan yang mampu mencipta ‘resipi kemenangan’...ini barisan yang sebenarnya mengheret Umno ke aras penerimaan rakyat yang lebih rendah,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali adalah antara individu yang dilantik sebagai ahli MT Umno, seperti diumumkan presidennya Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Zahid turut mengumumkan pelantikan Annuar Musa sebagai setiausaha agung Umno yang baharu menggantikan Tengku Adnan Tengku Mansor yang dinamakan sebagai bendahari.
Tempat Annuar sebelum ini sebagai ketua penerangan diisi oleh Shamsul Anuar Nasarah, yang juga ahli Parlimen Lenggong sejak 2008, sementara Mohd Sumali Reduan dilantik sebagai setiausaha kerja parti. Sumali sebelum ini merupakan setiausaha kerja Pemuda Umno Malaysia.
Zahid dalam pengumuman hari ini berkata pelantikan ini menyusul pemilihan parti yang berlangsung baru-baru ini yang beliau sifatkan sebagai “langkah pertama Umno menuju pembaharuan agar parti terus relevan” selepas PRU14 pada 9 Mei lepas.
Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi berkata, pelantikan Apandi dan Annuar juga dikhuatiri membebankan Umno kerana kes-kes mereka.
“Pelantikan Apandi dan Annuar ada kepakaran masing-masing seperti perundangan dan strategi, namun sumbangan mereka ini tidak dapat melebihi ‘baggage’ yang mereka bawa.
“Annuar bila-bila masa akan dijemput ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan isu Majlis Amanah Rakyat (Mara)...begitu juga Apandi yang dikatakan cuba menghalang siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.
Tambahnya, pasukan baharu Zahid itu juga kebanyakan mewarisi kepimpinan Umno terdahulu.
“Terdapat juga wajah baru daripada kepimpinan namun tuntutan perubahan dari dalam adalah cabaran terbesar apatah lagi mereka bukan kerajaan pemerintah,” katanya lagi.
Tambahnya, pimpinan Umno sekali lagi gagal menggunakan peluang yang ada untuk menampilkan pasukan yang mempunyai karisma, wibawa dan kemampuan untuk memenangi hati rakyat.
Seramai 10 lagi ahli Majlis Tertinggi lantikan yang lain termasuk tiga dari Sabah iaitu bekas calon ketua Wanita Umno yang kalah dalam pemilihan lalu, Azizah Mohd Dun dan Ketua Umno Bahagian Tuaran Hajiji Noor dan Ketua Umno Bahagian Kimanis Anifah Aman.
Bekas calon naib presiden Umno Tajuddin Abdul Rahman yang juga ketua Umno Bahagian Pasir Salak turut dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi, bersama seorang lagi pemimpin dari Perak, Ahli Dewan Undangan Negeri Slim River Mohd Khusairi Abdul Talib. Khusairi juga adalah bekas pengerusi Finas dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang lepas.
Ketua Umno Bahagian Hulu Langat Johan Abdul Aziz yang kalah pemilihan jawatan Ahli Majlis Tertinggi juga dilantik ke badan tinggi parti itu, selain Ketua Umno Bahagian Lipis Abdul Rahman Mohamad.
Tiga lagi ahli Majlis Tertinggi lantikan ialah ketiga-tiga Naib Ketua sayap iaitu Norliza Abdul Rahim (Wanita), Shahril Sufian Hamdan (Pemuda) dan Nurul Amal Mohd Fauzi (Puteri).
Dua calon presiden Umno yang kalah, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah tidak dilantik menganggotai Majlis Tertinggi.
Khairy sebelum ini turut mengkritik parti itu yang menurutnya semakin konservatif dan liat hendak berubah, mendapat reaksi bercampur dalam kalangan pemimpin dan ahli Umno.– 14 Julai, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jerry wong · Ulasan