KHAZANAH Nasional akan diterajui pengarah urusan baru, yang pertama dalam tempoh 14 tahun, selepas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad minggu lalu bahawa dana kedaulatan itu akan diberi hala tuju baru dengan kepimpinan yang baru.
The Malaysian Insight difahamkan Pengarah Urusan Khazanah Azman Mokhtar, yang kontraknya akan berakhir Jun tahun depan, membayangkan beliau sedia bersara awal sekiranya ada arahan dari Putrajaya.
Dalam kalangan pemimpin korporat, tersebar berita Azman gagal mendapatkan temu janji dengan Dr Mahathir, yang jadi pengerusi Khazanah atas kedudukannya sebagai perdana menteri.
Sejak beberapa minggu lalu, pimpinan syarikat dan dana pelaburan berkaitan kerajaan telah berhenti atau tidak diperbaharui kontrak mereka, termasuk Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Abdul Wahid Omar, yang meletakkan jawatan pada Jun selepas tidak dapat berjumpa Dr Mahathir.
Bekas perdana menteri Najib Razak meletak jawatan pengerusi Khazanah selepas Barisan Nasional (BN) tersingkir dalam pilihan raya umum 9 Mei. Ahli lembaga pengarah yang meletak jawatan termasuk bekas menteri kewangan II, Johari Abdul Ghani dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah.
Lembaga pengarah Khazanah gagal bermesyuarat pada April kerana pilihan raya umum dan Dr Mahathir belum lagi memanggil mesyuarat pada Jun sejak beliau mengambil kuasa.
Mesyuarat seterusnya dijadualkan pada September namun sumber-sumber kerajaan berkata ia hanya akan diadakan selepas perubahan pimpinan.
Khazanah dimiliki Kementerian Kewangan Diperbadankan dan secara tradisinya dipengerusikan oleh perdana menteri. Selain Najib, Abdullah Ahmad Badawi juga pernah mempengerusikan Khazanah dan sebelum itu Dr Mahathir.
Azman jadi pengarah urusan pada 2004 ketika Abdullah perdana menteri.
Dr Mahathir, yang menubuhkan Khazanah pada 1994 untuk memegang saham dalam syarikat kerajaan, memberitahu media tempatan “mereka tidak lagi mengikut matlamat asal penubuhan Khazanah.”
“Kita akan kategorikan (saham) kepada yang menguntungkan, yang mungkin menguntungkan dan yang merugikan.
“Kita perlu menyingkirkan beberapa syarikat ini untuk mengurangkan jumlah mereka dan setakat tertentu, untuk kembali ke matlamat asal (Khazanah) untuk memegang saham-saham yang diperuntukkan bagi Bumiputera sehinggalah mereka boleh membelinya,” katanya.
Perdana menteri yang kembali berkuasa selepas bersara 15 tahun berterus terang tentang Khazanah apabila berkata syarikat pelaburan strategik itu “melakukan semua perkara pelik seperti membeli rumah dan mengambil alih syarikat.”
Komen Dr Mahathir itu menimbulkan tanda tanya mengenai kedudukan Azman sebagai pengarah urusan Khazanah, jawatan yang disandangnya di bawah dua perdana menteri.
Dalam maklum balasnya, Khazanah dalam satu kenyataan minggu lalu berkata ia “meminta penjelasan lanjut yang perlu dari kerajaan dan pihak berkenaan yang lain… bertujuan untuk mendapat penjelasan, pengukuhan dan melaksanakan mandat kami sebagai dana pelaburan strategik kerajaan Malaysia.”
Laman web Khazanah menunjukkan syarikat itu memegang dan mengurus aset komersial dimiliki kerajaan.
Ia juga bertanggungjawab atas pelaburan strategik bagi pihak negara dan berkepentingan dalam lebih 100 syarikat dalam sejumlah sektor daripada tenaga dan penerbangan kepada rawatan kesihatan dan perkhidmatan kewangan.
Setakat Disember 2017, Khazanah mempunyai aset boleh direalisasikan bernilai RM157.2 bilion manakala aset bersih yang diselaras mencecah nilai tertinggi RM115.6 bilion. – 13 Julai, 2018.
Komen