Komuniti Dayak kesal PAS, Pemuda Umno kritik lantikan Malanjum


Desmond Davidson

Richard Malanjum mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim yang baharu di Istana Negara pada Rabu.– Gambar Youtube, 13 Julai, 2018

KUMPULAN sivil Dayak kesal dengan tindakan PAS dan Pemuda Umno kerana didakwa mengkritik pelantikan Richard Malanjum yang bukan Islam sebagai ketua hakim di Malaysia.

Kongres Kebangsaan Dayak (DNC) berkata, PAS dan Pemuda Umno gagal untuk menyedari bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan semua agama termasuk Islam menggalakkan penganutnya berbuat kebaikan dan menegakkan keadilan. 

Kenyataan mereka tidak wajar, kata Presiden DNC Paul Raja, merujuk kepada kenyataan yang didakwa sinis dalam ucapan tahniah Pemuda Umno dan dakwaan PAS bahawa hak undang-undang umat Islam kini terancam berikutan pelantikan bukan Islam bagi jawatan kehakiman tertinggi dalam kerajaan - Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hak ehwal undang-undang Liew Vui Keong. 

Pemuda Umno didakwa berkata, pelantikan Malanjum yang bukan Islam dan berasal dari Sabah sebagai Ketua Hakim melengkapkan “Malaysia Baharu” sebagaimana yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan “yang diterajui DAP”.

“Untuk mengutuk dan mengkritik Ketua Hakim yang bukan Islam tidak membantu mempromosikan keadilan,” katanya. 

“Kita perlu nyatakan di sini bahawa menjadi bukan Islam tidak menghalang Ketua Hakim untuk menegakkan keadilan di mahkamah tertinggi dalam negara. 

“Kita juga perlu ingat bagawa beliau menerajui mahkamah sivil Malaysia dan bukan Mahkamah Syariah.”

Paul Raja berkata apa yang penting adalah Malanjum memenuhi syarat perundangan dan perlembagaan untuk dilantik sebagai Ketua Hakim. 

“Apa yang menyedihkan ialah kelayakannya telah diabaikan dalam banyak perkara pada masa lalu.”

Katanya, beliau juga tertanya-tanya mengapa PAS dan Pemuda Umno memilih untuk melupakan bahawa Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia dan di Sabah dan Sarawak terdapat ramai masyarakat yang bukan beragama Islam. 

“Rakyat di Sabah dan Sarawak juga ada hak sebagaimana rakyat Malaysia yang lain yang dijamin di bawah MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan Perlembagaan Persekutuan, sekiranya layak, untuk dilantik dalam jawatan tertingggi perkhidmatan awam dalam persekutuan. 

“Malah, kita mahu mengingatkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah diabaikan oleh rejim terdahulu, dan juga sejauh mana hak-hak pribumi Sabah dan Sarawak berkenaan dengan pelantikan dalam perkhidmatan awam.

“Justeru, kami berharap PAS dan Pemuda Umno perlu mengambil iktibar dan menjadi lebih membantu dalam perjuangan politik mereka dalam mempromosikan hak dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia bukannya menjadi juara dalam menindas rakyat lain yang sah di negara Malaysia ini.”

Raja juga berkata rakyat Malaysia sudah menyuarakan dengan jelas pada Pilihan Raya Umum ke 14 dan mereka memilih untuk Malaysia Baharu “di mana semua orang boleh hidup dengan harmoni dalam negara berbilang kaum”.

“Kaum, warna kulit dan kepercayaan idak sepatutnya dijadikan jurang untuk memisahkan kita sebagaimana yang berlaku dalam kerajaan sebelum ini,” kata Raja. 

Katanya PAS dan Pemuda Umno perlu membantu membina Malaysia yang lebih baik, daripada cuba meraih populariti dengan menggunakan perpecahan.– 13 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • malaysia baharu

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Gerald Henry Lindan · Ulasan