Pahitnya hakikat konservatisme Malaysia


Wan Hamidi Hamid

UNDI popular yang diperolehi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu ialah 48%. Barisan Nasional (BN) pula mendapat 34% manakala PAS 17%. Jika digabungkan kedua-dua undi BN dan PAS, mereka meraih 51% undi popular.

Itu merupakan kiraan portal berita Malaysiakini. Jika ia tepat, ini bererti gabungan BN dan PAS mengalami apa yang pembangkang Pakatan Rakyat alami dalam PRU ke-13 dulu apabila menang hampir 52% undi popular tetapi tewas kerana kekurangan kerusi Parlimen.

Namun, catatan ini bukan tentang soal parti mana yang mendapat undi popular paling banyak. Apa yang mahu diutarakan di sini ialah pola pengundian mengikut kaum majoriti, iaitu Melayu, dan kesannya kepada masyarakat Malaysia.

Minda majoriti

Daripada pengalaman lalu, secara kasarnya, undi yang diperolehi BN dan PAS boleh dikatakan hampir semuanya datang daripada pengundi Melayu.

Secara amnya, pengundi Melayu yang mengundi BN boleh dikatakan golongan konservatif yang menyokong Umno, dan bukannya parti-parti komponen BN yang lain. Pengundi PAS pula hampir kesemuanya Melayu yang wala’ dengan kepimpinan ulamak konservatif parti agama tersebut.

Bagi pengundi PH pula, separuh daripada undi popularnya diperolehi daripada orang Melayu. Ini bererti pengundi bukan-Melayu yang memilih PH mungkin mewakili kira-kira 25% sahaja daripada keseluruhan undi popular PRU14.

Daripada kalangan pengundi bukan Melayu itu, ada antara mereka yang konservatif walaupun nilai dan amalan mereka berbeza sedikit daripada konservatisme orang Melayu, terutamanya dari segi amalan kebebasan beragama dan kebebasan sosial.

Dengan telahan ini, boleh dikatakan jumlah pengundi liberal mungkin tidak melebihi 20% daripada kesemua undi popular PRU14.

Sehubungan itu, walaupun suara sesetengah kalangan liberal ini amat lantang, mereka tidak mewakili kelompok majoriti, sama ada dalam kalangan Melayu atau bukan Melayu – dalam keadaan di mana politik kaum dan agama masih menjadi amalan di Malaysia.

Apa yang mahu disampaikan di sini adalah, suara majoriti – pengundi Melayu yang memilih PH, BN dan PAS – masih bersifat konservatif.

Dalam konteks ini, apa yang dimaksudkan dengan fahaman dan amalan konservatif adalah keadaan di mana masyarakat menerima resmi kehidupan termasuk politik berasaskan kaum dan agama dalam semua ruang kehidupan tanpa mahu menerima sebarang perubahan.

Malah, sebarang usaha untuk melaksanakan reformasi dalam hal-hal sosial, politik dan ekonomi dianggap sebagai melawan norma-norma kehidupan.

Isu-isu sensitif

Kerana itulah apabila timbul isu-isu yang emosi seperti nikah kanak-kanak 11 tahun dengan lelaki 41 tahun, pegawai daripada golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang bekerja dengan menteri, dan tuntutan menghantar pulang pendakwah asing ke negara asalnya, ia membangkitkan kemarahan golongan konservatif Melayu terhadap sebarang usaha reformasi yang mereka lihat sebagai moderat, liberal dan progresif – walaupun setiap nilai ini berbeza antara satu sama lain.

Sedangkan fenomena ini kerap juga berlaku pada era rejim BN dulu di mana ruang untuk bercakap benar walaupun pahit jarang dibuka di pentas-pentas awam. Yang menguasai wacana awam tetap golongan konservatif.

Namun, sepahit mana sekalipun yang dirasai golongan moderat, liberal dan progresif, inilah hakikat yang terpaksa diterima. Majoriti pengundi tidak memilih DAP yang dikatakan moderat, liberal dan progresif walaupun ia komponen PH. Majoriti pengundi BN pula menolak parti-parti komponen PH yang bukan Umno.

Sejak lebih sedekad lalu, minda pengundi Melayu semakin konservatif daripada segi pemahaman dan penerimaan serta amalan agama. Dengan kepercayaan kepada ketuanan kaum – yang menjadi amalan sejak awal 1970-an melalui dominasi Umno dalam BN – ia merebak menjadi “nasionalisme Muslim”, takrifan yang dipopularkan oleh pakar sains politik Dr Wong Chin Huat.

Dalam tulisannya untuk TMI pada 20 Julai 2015, Dr Wong menyatakan: “Apa yang ditambah secara langsung atau tidak langsung oleh hujah nasionalisme Muslim ialah kerana orang Melayu itu beragama Islam, maka mereka melebihi orang bukan Melayu dalam ketakwaan, maka absahlah kalau orang Melayu mempunyai hak atau layanan istimewa.”

Boleh dikatakan masih ramai orang Melayu berpemikiran sebegini. Sehubungan itu, tidak mengejutkan jika majoriti pengundi Melayu – sama ada pemilih PH, BN atau PAS – menolak hal-hal yang mereka anggap bertentangan dengan ideologi kaum-agama yang mereka amalkan seharian.

Perlunya dialog

Dengan itu, sebarang usaha untuk memahami hal-hal yang dianggap moderat, liberal dan progresif memerlukan ruang untuk berbincang dan berdialog.

Jika era BN menutup pintunya, maka PH perlu membukanya. Ia bukan untuk mengiktiraf apa-apa, hanya untuk membincangkannya dengan penuh keilmuan dan fakta.

Ia tidak boleh lagi dibiarkan sekadar menjalar di ruang media sosial, gerai tepi atau café hipster kerana semuanya itu hanya merupakan jeritan dan pekikan saja tanpa banyak asas.

Ia tidak perlu bermula dengan hal-hal yang dianggap terlalu sensitif tetapi harus menangani isu-isu yang ditakrifkan sebagai sensitif walaupun sebenarnya boleh dibicarakan.

Ini boleh membincangkan soal bahasa yang masih tersepit di antara retorik kaum dan penambahbaikan penggunaan seharian.  

Ia boleh membicarakan tahap kedewasaan siswa-siswi agar pusat pengajian tinggi tidak lagi melayan mereka seperti pelajar sekolah menengah.

Ia boleh membahaskan isu sekolah yang melibatkan pendidikan murid, pembelajaran pelbagai bahasa dan budaya, dan mewajibkan pemahaman tentang Perlembagaan Persekutuan serta hak asasi.

Malah, ia boleh membincangkan pendidikan tentang seks, rasuah dan salah guna kuasa agar pelajar sekolah sedar buruk baik amalan masyarakat sekeliling, malah memberi semangat untuk mereka melaksanakan reformasi apabila dewasa nanti.

Dengan adanya ruang yang sesuai, malah tertutup jika perlu dalam masa-masa yang awal ini, perlu dibincangkan hal-hal ketuanan kaum, dominasi agama serta isu-isu berkaitan untuk meredakan ketegangan antara individu dan rakyat.

Jika tidak dimulakan sekarang, apa yang media massa dan ahli politik canangkan sebagai Malaysia Baru akan tinggal mereput seperti slogan-slogan indah masa lalu yang hanya menjadi ejekan rakyat.

Memang pedih hakikat yang ada tetapi masih ada ruang untuk menyentuh sedikit-sebanyak duri yang mungkin melukakan jari. Tetapi rasanya ia lebih baik daripada membisu dalam konservatisme kaum dan agama yang hanya membuahkan barah dalam masyarakat.– 13 Julai, 2018.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen