Dalam gua Thailand, kita belajar soal langkah pertama


Tramizi Hussin

SEJAK 18 hari lalu, Thailand memukau dunia dengan operasi mencari dan menyelamat 12 budak lelaki dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam gua dibanjiri arus deras di daerah Chiang Rai.

Kisah ini boleh berakhir penuh tragedi kerana usaha membawa semua mangsa yang tidak pandai berenang untuk menyelam dalam lingkaran gua gelap dinaiki air keruh dan berarus deras itu sangat sukar.

Tetapi, ia berakhir dengan jaya apabila semua berjaya diselamatkan.

Kalau ditenung-tenung, budak-budak muda Thailand ini mengajar kita soal mengambil langkah pertama perubahan dalam Malaysia Baharu.

Di Malaysia, kebelakangan ini banyak isu timbul yang membayangkan sebenarnya kita sedang berada dalam gua dan perlu belajar merangkak keluar. Persoalannya, adakah kita mahu merangkak perlahan-lahan dengan mengambil langkah bijak atau tergesa-gesa sehingga gua runtuh dan kita tenggelam dalam arus deras?

Malaysia Baharu dikejutkan dengan kisah sensasi lama yang tiba-tiba muncul mendadak. Isu perkahwinan kanak-kanak 11 tahun dan isu diskriminasi kerja pelantikan seorang aktivis kumpulan minoriti.

Membingungkan sebenarnya, dalam kegembiraan membuak-buak selepas 9 Mei dan ramai menyangka semuanya mungkin dalam Malaysia Baharu, dua kes itu membuktikan ada perkara masih mustahil.

Kita bertambah kecewa apabila menteri yang baharu dilantik rupanya tidak banyak beza dengan menteri Barisan Nasional (BN) yang kini menganggur.

Kekecewaan itu wajar. Wajar untuk kecewa bila Dr Wan Azizah Wan Ismail mengeluarkan kenyataan perkahwinan kanak-kanak yang langsung tidak tegas. “Ibu Reformasi” itu tiba-tiba jadi lembut dalam bicaranya. Sedangkan kita mengharapkan beliau mengeluarkan kenyataan keras menentang perkahwinan kanak-kanak dan menggunakan kuasa yang baharu diberikan sebagai menteri untuk mendesak penghapusan sepenuhnya “kelonggaran” dalam membenarkan perkahwinan kanak-kanak.

Ya, kita kecewa.

Kecewa juga apabila menteri muda yang selama ini idealistiknya menggugah Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman cuma berkata Numan Afifi masih lagi seorang “bro” atau saudaranya. Kita mengharapkan beliau bertegas untuk mengekalkan aktivis itu dalam pasukannya. Kita mengharapkan “pendebat terbaik dunia” itu boleh keluarkan kenyataan yang lebih bijak memisahkan soal orientasi seksual, diskriminasi tempat kerja dan kekal setia bersama prinsipnya.

Kita mengharapkan beliau, menteri 25 tahun diangkat jadi bualan sampai ke Indonesia ada keberanian. Malangnya beliau hanya keluarkan kenyataan bahawa pelantikan aktivis itu “tidak pernah (dibuat) secara rasmi” dan Numan juga menurutnya “masih bro saya”. Adakah lepas jadi menteri, Syed Saddiq tersedar idealismenya sukar terlaksana?

Rakyat yang mengundi Pakatan Harapan wajar kecewa.

Tetapi, rakyat Malaysia juga perlu bertenang seperti jurulatih budak lelaki yang terperangkap dalam gua di Thailand, Ekapol Chantawong yang memastikan 12 budak lelaki terus hidup selama sembilan hari sebelum dijumpai pasukan penyelamat.

Kerosakan institusi dan kedangkalan mentaliti masyarakat sejak Merdeka mustahil boleh diubah dalam masa beberapa bulan saja. Malah terlalu naif untuk kita mengharapkan semuanya berubah mendadak, walaupun kita masih boleh berharap langkah pertama perubahan diambil.

Kita juga tidak perlu jadi seperti Elon Musk. Idealismenya untuk selesaikan kisah gua Thailand hanyalah tinggal idealisme, heboh di media sosial tetapi yang buat kerja adalah orang yang sebelum ini dunia tidak pernah kenal.

Seperti budak-budak muda Thailand yang tidak tahu berenang tetapi berjaya keluar dari gua, rakyat Malaysia juga perlu mula belajar berenang keluar dari gua mentaliti.

Perjalanan untuk keluar gua mentaliti Malaysia baru bermula, jangan tergesa takut tenggelam nanti, tetapi langkah pertama perlu diambil.

Dr Wan Azizah dan Syed Saddiq gagal dalam langkah pertama mereka menggerakkan masyarakat keluar dari gua, dan kita hanya boleh berharap mereka yang terakhir gagal berbuat demikian. – 11 Julai, 2018.

* Tramizi Hussin adalah penyunting berita The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Satu perbandingan yg sgt baik. Tetapi mengambil contoh Syed Saddiq utk tidak mengambil seorang pegawai berorientasikan gay bkn lah satu contoh yg relevan dgn norma2 hidup bermasyarakat. Dan tindakan SS adalah betul.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Mohamed Noor Mohamed · Ulasan