Perkahwinan budak 11 tahun tak boleh dibatalkan, kata TPM


Muzliza Mustafa

Perkahwinan budak 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun di Gua Musang, Kelantan itu tidak boleh dibatalkan kerana tidak didaftarkan di Malaysia, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Julai, 2018.

PERKAHWINAN antara budak perempuan berumur 11 tahun dengan lelaki 41 tahun di Gua Musang, Kelantan tidak boleh dibatalkan kerana tidak didaftarkan di Malaysia, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Buat masa ini, tak ada perkahwinan sebab tak ada dokumen,” kata menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu kepada pemberita selepas mesyuarat di kementeriannya di Putrajaya tadi.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata walaupun perkahwinan itu dianggap sah dalam Islam, tetapi ia tidak mengikut undang-undang Malaysia.

Jelas Wan Azizah, memandangkan beberapa daerah di Kelantan membenarkan mereka yang berumur 16 tahun berkahwin dengan kebenaran hakim syarie, hakim mestilah arif menilai dan tegas dalam memberi kebenaran.

“Hakim mempunyai kuasa. Mereka mesti mempunyai sebab-sebab sahih untuk membenarkan kanak-kanak berkahwin pada usia sebegitu muda.”

Wan Azizah pada minggu lepas berkata kementeriannya akan meneliti garis panduan yang ditetapkan bagi mahkamah syariah menyaring permohonan perkahwinan bawah umur.

Beliau berkata ini bertujuan untuk melindungi kebajikan kanak-kanak bawah umur di samping memelihara kesucian mahkamah syariah, termasuk mahkamah adat di Sabah dan Sarawak.

“Selalunya ada pengecualian bagi sesuatu perkara tertentu… seperti perkahwinan adat di Sabah dan Sarawak yang perlu kita pertimbangkan.

Sebab itulah kita mahu lakukan di peringkat Persekutuan.”

Menurut timbalan perdana menteri, garis panduan itu mungkin termasuk mewajibkan pemeriksaan kesihatan dan psikologi ke atas kanak-kanak sebelum mereka berkahwin.

“Perlu dapatkan pemeriksaan kesihatan dan psikologi untuk kanak-kanak itu.

“Kita juga perlu menyiasat sam ada terdapat elemen ‘sexual grooming’ kerana apa yang paling mustahak ialah kepentingan kanak-kanak.” 

Semalam, Mahkamah Syariah Kelantan hari ini mendenda peraih getah sekerap yang memperisterikan budak perempuan berumur 11 tahun itu sebanyak RM1,800 kerana berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Hakim Syarie Gua Musang Mohd Surbaineey Hussain mendenda tertuduh RM900 bagi setiap kesalahan selepas lelaki itu mengaku bersalah bagi kedua-dua pendakwaan. 

The New Straits Times melaporkan Che Mohd Karim Che Hamid didakwa mengikut Seksyen 19 dan Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau dua bulan penjara.  – 10 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen