Masyarakat pedofilia


Hadri Shah

PETANG kelmarin, ketika aku sedang menunggu beberapa pekerja imigran mencuci kereta di sebuah stesen minyak, Yaser menghantar pautan sebuah artikel bersama mesej pentingnya – “hang kena baca artikel ni!”.

Artikel itu sebuah komentar terhadap kenyataan Mohd Amar Abdullah sebagai timbalan menteri besar “negeri serambi Mekah” Kelantan mengenai isu perkahwinan antara lelaki berusia 41 tahun dengan isteri ketiganya yang baru berusia 11 tahun.

Lalu, setelah selesai membacanya, aku langsung mengemas kini status media sosial. Secara ringkasnya, aku menulis analogi mudah mengapa anak muda menolak untuk berdamping agamawan sebaliknya lebih intim dengan figura rock & roll seperti mendiang Kurt Cobain.

Penjelasan aku begitu sederhana – kerana agamawan tidak pernah membawa suara memihak kepada masyarakat.

Bagi Nik Amar, isu perkahwinan kanak-kanak yang sedang ribut sekarang baginya tidak serius berbanding kes-kes melibatkan LGBT dan zina.

Malah katanya, perkahwinan kanak-kanak tidak salah di sisi agama Islam dan tidak patut diperbesarkan sebagai isu nasional kerana ia hanya isu terpencil. Memetik kata-katanya: “Bukan semua lelaki mengahwini kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun.”

Berbanding Nik Amar yang religius, mendiang Kurt Donald Cobain yang tidaklah sealim mana, pernah mengeluarkan pendapatnya yang lebih membekas.

Walaupun tidak menyentuh isu “child marriage” secara terperinci, sekurang-kurangnya, pendirian Cobain jelas berpihak kepada kaum tertindas, khususnya kaum wanita dan kanak-kanak perempuan yang dirogol dan diculik. Rujuk lagu “Polly” dan “Rape Me”.

Kata Cobain, masalah masyarakat ialah mereka terlalu taksub mahu mendidik kaum wanita untuk mempertahankan diri. Apa yang lebih fundamental dan utama ialah mengingatkan kaum lelaki supaya tidak merogol.

Secara berseloroh dan sinis, di akhir “status fun-fun” itu, aku menjemput respons berbau “syurga-neraka-dosa-pahala” ditulis di bahagian komen. Setakat hari ini, terdapat 273 komen ditinggalkan dan kebanyakannya memang komen berstatus “syurga-neraka-dosa-pahala”!

Antara yang menarik ialah seperti berikut:

* “Jadi perkahwinan itu yang mana sah di sisi Tuhan, siapa kita untuk membangkangnya? Manusia ada standard yang lebih baik dari Tuhan?”

* “Jumhur 4 mazhab bersependapat Aisyah ketika bernikah dengan nabi ialah 9 tahun, datang pula bukti baharu, dari arkib mana?”

* “Isu kahwin (dengan kanak-kanak) juga kau nak sebut. Baik kau sebut isu perempuan tak tutup aurat, terang-terang Tuhan sebut dalam Quran dan marah… dan azab perempuan tak tutup aurat. Isu budak perempuan 11 tahun kawin takde pulak Tuhan cakap tak boleh dalam Quran.”

Akhirnya, perdebatan perkahwinan kanak-kanak ini menyaksikan naratif gelap yang menyempitkan.

Ia bukan lagi isu mengenai kemaslahatan, hak dan keadilan buat kanak-kanak bahkan tanpa persoalan kritis, ia langsung menjadi konflik yang meresahkan apabila kes pedofilia sebegini mudah benar dihalalkan dengan hujah-hujah yang kononnya didukung agama.

Ini tragedi ketaksuban dan kejahilan yang paling menyayat hati!

Ada ketika, hujah agama tidak semestinya diperlukan untuk membenarkan sesuatu perkara. Juga, tanpa hujah agama sekalipun, keburukan tetap kekal sebagai keburukan.

Namun, ini sesuatu yang sangat sukar dipersetujui masyarakat. Ditambah pula feudalisme yang tercipta dalam praktis agama – masyarakat gagal berlaku jujur dan bersepakat dalam kenyataan ini.

Avaaz, sebuah portal global yang giat mempromosi aktivisme menentang kemiskinan, perubahan iklim, hak asasi manusi, hak asasi binatang, korupsi dan krisis dunia menyatakan “kes kanak-kanak perempuan yang berkahwin adalah masalah global – lebih dari 650 juta, kanak-kanak perempuan yang masih hidup pada hari ini sudah berstatus isteri dan 10,000 daripadanya adalah di Malaysia. Sementara Malaysia meluluskan undang-undang terhadap jenayah seks terhadap kanak-kanak tahun lepas, ia tidak menjadikan perkahwinan kanak-kanak sebagai jenayah.”

Dari komentar yang sama penulis menerangkan: “Menurut kenyataan oleh Majlis Peguam Negara, antara 2005 dan 2015, sebanyak 10,240 penduduk beragama Islam membuat permohonan bagi perkahwinan kanak-kanak di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Manakala, antara 2000 dan 2014, sebanyak 7,719 permohonan perkahwinan dibuat bagi kanak-kanak perempuan antara 16 dan 18 tahun bukan Islam.

Mengikut statistik global, jika tiada sebarang pengurangan dalam statistik bagi perkahwinan kanak-kanak menjelang 2050, sebanyak 1.2 bilion kanak-kanak perempuan akan dikahwinkan.”

Nah! Setelah sekian dapatan dibuktikan, bagaimana isu ini boleh dianggap “terpencil” dan “bukan semua lelaki berkahwin dengan pasangan berusia 11 tahun” oleh Nik Amar dan sebahagian besar masyarakat?

Mengapa perkahwinan kanak-kanak mesti diperangi habis-habisan, tuan-tuan?

Dalam laporan Institute For War & Peace Reporting, Sohdaba Ehrari menulis kisah tentang Laila, seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun dari daerah Gozra, Afghanistan yang kini sudah berkahwin dan memiliki seorang bayi berusia enam bulan.

Kata Laila, yang berkahwin kerana kondisi keluarganya yang miskin, menjadi isteri dan ibu benar-benar merampas zaman kanak-kanaknya. Laila tidak bersekolah, tidak bermain seperti kanak-kanak lain dan impian berserta cita-citanya terbunuh. Dia mengalami masalah ketika hamil dan bersalin kerana tubuhnya kecil dan lemah.

Menurut Health Consequences of Child Marriage in Africa, perkahwinan kanak-kanak didorong oleh faktor kemiskinan dan mempunyai banyak kesan terhadap kesihatan kanak-kanak perempuan: peningkatan risiko penyakit kelamin, kanser serviks, malaria, kematian ketika melahirkan anak, dan fistulas obstetrik. Anak-anak perempuan berisiko tinggi untuk kelahiran dan kematian pramatang sebagai bayi neonatus, bayi, atau anak-anak.

Maka benarlah, tanpa hujah agama sekalipun, kerosakan dan konsekuensi perkahwinan kanak-kanak ini mendatangkan jutaan kecelakaan ketimbang kebaikan.

Ia bukan seperti yang mereka nyatakan “untuk mengelak zina” atau “memelihara aurat”.

Jauh lebih dari itu, persoalannya sekarang, mengapa kita beria-ia membenarkan perkahwinan kanak-kanak 11 tahun itu?

Apa bezanya antara kanak-kanak itu dengan Laila, serta 650 juta kanak-kanak perempuan lain?

Mereka masih muda, datang dari keluarga miskin dan perkahwinan itu sama sekali tidak seperti kisah klasik antara anak gadis dan raja melainkan ia adalah jalan menuju neraka; tanpa sekolah, tanpa masa bermain, tanpa kawan-kawan, kesakitan dan terkorban demi melayani nafsu “pemimpin keluarga”.

Adakah kita masih perlu menghormati perkahwinan ini kerana alasan tradisi – cara hidup sesetengah bangsa, atau kerana kegelojohan kita dalam mentafsir praktis agama atau akui saja, kita sememangnya pedofilia yang tersuci di atas sebuah akad. – 10 Julai, 2018.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Membunuh harapan dan impian seorang anak gadis. Tidak ada sedikit kebaikan pun terhasil dari perkahwinan paksa kanak-kanak ini. Golongan agamawan haruslah mengangkat diri mereka sebagai pembela mereka yang tertindas, harus bekerja bersama-sama dengan kerajaan mengangkat kemanusiaan dalam titik tolak membuat keputusan. Kalau tidak, mungkin 10 tahun akan datang golongan ini tidak lagi dipandang releven di mata masyarakat.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Princess Katara · Ulasan