PH setuju gandingan Dr Mahathir-Anwar untuk PRU14


Amin Iskandar

Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim dikatakan akan mengemudi barisan kepimpinan Pakatan Harapan dalam usaha menakluk Putrajaya dan menjatuhkan Perdana Menteri Najib Razak. – Gambar EPA, 13 Julai, 2017.

SELEPAS dua bulan tersekat dengan senarai pimpinan, parti dalam Pakatan Harapan (PH) akhirnya bersetuju yang tiga jawatan utama Majlis Presiden bakal diisi Anwar Ibrahim, Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

The Malaysian Insight difahamkan, majoriti parti dalam PH secara dasarnya sudah bersetuju Anwar dilantik sebagai ketua umum, Dr Mahathir sebagai pengerusi dan Dr Wan Azizah sebagai presiden.

“Tetapi dalam mesyuarat nanti kita akan muktamadkan,” kata sumber PH dengan syarat tidak dinamakan.

“Cuma yang masih dalam perdebatan ialah struktur di bawah tetapi saya percaya ia pasti akan dapat diselesaikan dalam mesyuarat.”

PH akan mengadakan mesyuarat Majlis Presiden hari ini di Petaling Jaya, Selangor.

Sumber berkata, struktur baharu ini dilihat menggembalikan nostalgia gandingan Dr Mahathir dan Anwar semasa mereka berada dalam kerajaan hampir 20 tahun dahulu.

“Apabila Dr Mahathir bergabung dengan Anwar, Perdana Menteri Najib Razak menggelabah.

“Lihatlah bagaimana mereka respons apabila media lapor Dr Mahathir kata tidak ada masalah jika Anwar menjadi perdana menteri,” kata sumber itu.

Satu lagi sumber PH mengesahkan tiga jawatan tertinggi bakal diisi ketua umum PKR, pengerusi Bersatu dan presiden PKR tetapi menambah terdapat dua pandangan mengenai jawatan naib presiden.

Katanya, jawatan naib presiden seharusnya diisi setiap ketua parti seperti Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

“Akan tetapi satu pandangan yang mahukan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali masuk dalam senarai naib presiden.

“Mereka kata, kedudukan Azmin sebagai menteri besar Selangor boleh memanfaatkan PH. Ini juga kita akan putuskan esok (hari ini),” kata sumber itu.

Dalam struktur baharu ini ahli Majlis Presiden PH terdiri daripada ketua umum, pengerusi, naib presiden, setiausaha, bendahari dan wakil PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

PH perlu menghantar senarai pimpinan dan logo mereka kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menjadi sebuah gabungan berdaftar.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata: “Saya hanya boleh katakan, kesemua pemimpin tertinggi PH akan mengisi jawatan penting Majlis Presiden. Selebihnya tunggulah pengumuman esok,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditanya mengenai barisan kepimpinan Majlis Presiden PH.

Dari London ke mahkamah

Pengumuman senarai pimpinan yang seharusnya diumumkan lebih dua bulan dahulu tertangguh disebabkan pertengkaran dalaman sesama parti dalam PH sehingga menyebabkan penyokong mereka dan aktivis kecewa.

Difahamkan, persetujuan ini berjaya dicapai selepas pertemuan di antara Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Dr Mahathir di London dan beberapa siri pertemuan tidak rasmi di kalangan pemimpin parti PH.

Siri pertemuan tidak rasmi pemimpin PH berlaku sepanjang sambutan Aidilfitri di majlis rumah terbuka dan ketika perbicaraan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu ini.

Anwar berada mahkamah sejak Isnin lalu untuk perbicaraan kes samannya terhadap TV3 kerana difitnah sebagai dalang pencerobohan Lahad Datu.

Sepanjang perbicaraan kes Anwar bermula Isnin lepas, pemimpin PH seperti Lim Kit Siang, Mohamad, Azmin, Saifuddin Nasution Ismail, Nurul Izzah, Chua Tian Chang, Rafizi Ramli, Dr Dzulkefly Ahmad, Liew Chin Tong dan ramai lagi kelihatan berada di mahkamah.

Pada Selasa, di sebalik kesibukan tugasnya sebagai menteri besar, Azmin kelihatan menghabiskan masa lebih dua jam di mahkamah untuk bertemu Anwar dan pemimpin PH lain.

Ketua Biro Dasar dan Strategi Bersatu Dr Rais Hussin berkata, setakat ini perbincangan tidak rasmi di antara pemimpin PH berjalan dengan baik.

“Kami percaya keputusan dapat dimuktamadkan untuk menyelamatkan negara dengan menawarkan alternatif yang berkredibiliti dan struktur kuat serta akan bekerja keras sebaik sahaja diumumkan,” katanya.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong berkata jika Majlis Presiden PH mencapai kata sepakat esok, ia merupakan satu kemajuan bagi gabungan pembangkang Malaysia.

“Untuk menggabungkan dua kekuatan besar Dr Mahathir dan Anwar untuk (menjadi) satu gabungan sudah tentu akan mengambil masa.

“Gandingan semula Dr Mahathir-Anwar untuk melawan Najib sesuatu yang sukar untuk difikirkan sebelum ini tetapi ia sedang berlaku sekarang,” kata ahli Parlimen Kluang itu. – 13 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen