Laporan TV3 jejas peluang Pakatan Rakyat pada PRU13, kata Anwar


Amin Iskandar

BEKAS ketua pembangkang Anwar Ibrahim mengatakan laporan mengaitkan beliau dengan serangan pengganas di Lahad Datu oleh Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) adalah tuduhan serius dan bersifat fitnah.

Menurut Anwar, laporan disiarkan melalui slot Buletin Utama pada 5 Mac 2013 menjejaskan beliau serta gabungan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.

Anwar berkata, laporan TV3 itu menyebabkan rakyat keliru ketika negara semakin menghampiri tempoh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Laporan itu menunjukkan seolah-olah saya seorang pengkhianat negara dan bersedia membenarkan pencerobohan ke atas negara saya sendiri.

“Laporan itu mencemar imej dan kredibiliti saya sebagai seorang pemimpin pembangkang,” kata Anwar semasa memberikan keterangan di mahkamah hari ini.

Anwar berkata, TV3 tidak mengamalkan etika kewartawanan apabila tidak memberikan peluang kepadanya untuk menjawab kembali tuduhan.

“Mereka (TV3) tidak memberi saya sebarang peluang untuk menjawab sebaliknya terus menyerang saya.

“TV3 melanggar etika media, kesopanan, kebudayaan dan Islam,” katanya.

Anwar sebelum ini menyaman Utusan Melayu (M) Bhd dan ketua pengarang kumpulannya Abdul Aziz Ishak berhubung isu pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah tetapi kes itu selesai pada Oktober tahun lalu.

Saman itu selesai selepas dua defendan menyampaikan kenyataan kesal atas tindakan mereka, dan teksnya dibaca peguam Wan Azmir Wan Majid di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Noraini Abdul Rahman.

Dalam kenyataan itu, Utusan Melayu dan Aziz berjanji mereka atau ejen mereka, wakil dan pekerja tidak akan menerbitkan, mengulangi atau menyebabkan perkataan berkenaan disiarkan lagi.

Menurut terma penyelesaian, dua defendan berkenaan akan membayar kos RM50,000 kepada Anwar, yang diwakili peguam S. Ambiga.

Anwar memfailkan saman itu pada 8 Mac 2013 yang mendakwa Utusan Melayu menyiarkan artikel di muka depan bertajuk “Ketua pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?” dan artikel di muka sembilan bertajuk “Tiga kumpulan menjadi dalang” pada 2 Mac 2013.

Beliau  mendakwa laporan itu turut disiarkan di Buletin Utama TV3 antara jam 8 hingga 9 malam hari yang sama.

Selain Utusan Melayu dan Aziz, Anwar juga menamakan TV3, Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima Berhad Shaharudin Latif serta Pengarang Berita Buletin Utama Ing Boon Seng sebagai defendan.

Perbicaraan disambung esok. – 11 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • TV3 ni.. alat propaganda umno..rakyat pun tau.mereka akan lakukan apa saja asalkan kepentingan survival politik umno .
    Fitnah,perkauman,mengaibkan sesiapa saja
    Yang bertentangan dgn mereka puak puak umno ni ..media inilah yang akan meracun dan dan mengaibkan utk di tonton oleh rakyat.amat memalukan. Amat malang sekali Rakyat
    Malaysia.. media hanya untuk kepentingan politik umno ..kebenaran dan ketelusan tiada nilai bagi mereka puak puak umno ini ..yang penting kuasa...rakyat di tipu demi kuasa..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Hizam Noor · Ulasan