.jpg)
SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), mungkin tidak begitu ramai penganalisis politik atau ahli akademik yang memfokuskan nasib parti Kongres Se-India Malaysia ( MIC ) iaitu komponen parti yang dominan dalam Barisan Nasional (BN).
Parti yang ditubuhkan 62 tahun yang lalu itu tidak boleh dinafikan menghadapi pelbagai rintangan dan krisis dalaman serta pertelingkahan dalam kalangan barisan kepimpinannya.
Dalam PRU14 yang lepas, MIC hanya menang dua kerusi Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding PRU13 ketika MIC di bawah kepimpinan G. Palanivel menang empat kerusi Parlimen dan lapan DUN.
Apakah punca kejatuhan dan kegagalan teruk MIC?
Kepimpinan di bawah Samy Velu, Palanivel dan S.Subramaniam sering dibanding-bandingkan dalam hal ini.
Kegagalan kepimpinan Subramaniam paling nyata apabila MIC semakin kecundang dan berada dalam situasi yang terancam sekarang. MIC pernah mendapat tempat di hati rakyat khususnya kaum India kerana matlamat utama parti tersebut iaitu memperjuangkan pembangunan dan sosio ekonomi masyarakat India.

Namun selepas itu, hanya kebencian dan ketidakpuasan hati yang menguasai masyarakat India apabila melihat MIC semakin gagal melakukan perubahan ke arah kemajuan kaum tersebut.
Pemimpin MIC lebih lantang bersuara dalam konflik yang dihadapi sehingga seakan-akan lupa mereka adalah wakil politik kepada kaum India.
Masyarakat India khususnya pengundi muda mula beralih dan menyokong Pakatan Harapan (PH). Hal ini boleh dikatakan suatu pemberontakan secara tidak langsung terhadap MIC dan BN atau memang masyarakat India merasakan PH mampu memperjuangkan nasib mereka.
Perkara ini dapat dibuktikan misalnya apabila pemimpin yang dikatakan berjiwa rakyat seperti P. Kamalanathan iaitu bekas ahli Parlimen Hulu Selangor dan iimbalan menteri pendidikan tewas teruk dengan calon PKR, June Leow dengan majoriti 13,391 undi. Pemimpin yang pernah diangkat tinggi oleh rakyat tumbang begitu sahaja.
MIC perlu sedar akan realiti yang melandanya. Realiti bahawa ia telah hilang kepercayaan dan segala keyakinan yang pernah ditaruhkan oleh kaum India terhadapnya. Pelan tindakan yang dibawa untuk masyarakat India tidak berjaya meraih sokongan. Ini adalah realiti yang perlu dijadikan satu dialog kerana ia bukan sebuah retorik semata-mata yang dilemparkan ke atas MIC.
Masyarakat India inginkan pembaharuan dan sebuah transformasi yang efisien dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Pemimpin yang lebih berkaliber, berwawasan dan mengamalkan prinsip demokrasi diperlukan bukan pemimpin yang hanya bersikap konservatif iaitu terlalu mengekalkan kebiasaan semata-mata hanya disebabkan parti tersebut berideologikan konservatisme.
Presiden MIC, Subramaniam pernah menegaskan bahawa perjuangan parti lebih penting daripada kepentingan diri sendiri. Namun persoalannya mengapa ahli parti gagal berkerjasama sebagai satu pasukan dalam mengatur strategi kemenangan dalam PRU14?
Kegagalan itu patut diletakkan pada akar umbi parti kerana terlampau yakin dan selesa tanpa sedar mereka sebenarnya sedang kehilangan sokongan sedikit demi sedikit.
MIC bukan sahaja gagal mengekalkan peranannya di pihak kerajaan malah tewas di mata majoriti masyarakat India. Selepas berdepan dengan kekalahan tersebut, MIC semakin kelihatan halimunan dalam politik Malaysia. Mungkin MIC perlukan masa yang lama untuk bangkit semula dan mencari akar bagi segala kekalahan mereka.
Daripada parti yang pernah berjuang dalam membebaskan tanah air daripada cengkaman kolonial , kini ia hanya dibadutkan bagai sebuah jenaka.
Survival MIC dalam politik Malaysia sebagai komponen parti pembangkang perlu dipertahankan dan dikekalkan bukannya semakin rapuh dan rebah ketika berdepan cabaran.
Kepimpinan dan perjuangan MIC perlu direformasikan semula. Agenda baharu yang lebih realistik dan komprehensif perlu difokuskan oleh MIC selepas ini sekiranya tidak ingin melihat detik hitam yang menimpanya pada PRU yang lepas berulang pada PRU15. – 5 Julai, 2018.
* Jaymani Sevanathan adalah mahasiswi jurusan sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan