Dr Mahathir, Anwar, Kit Siang patut undur daripada politik, kata Khairy


Khairy berkata Dr Mahathir, Anwar dan Kit Sing patut beri laluan kepada golongan muda menerajui parti masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2017.

MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini berkata Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang patut bersara daripada kehidupan politik, lapor Bernama.

“Saya tidak bermaksud apabila kita mahu rakyat bersatu, mereka semua harus menyokong Barisan Nasional (BN),” katanya kepada agensi berita itu.

“Bagaimanapun, kita tidak mahu keadaan seperti hari ini di mana politik negara penuh dengan permusuhan, kebencian dan hasutan, semuanya dicipta tiga ahli politik,” kata Khairy selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Wanita, Belia dan Puteri Wangsa Maju di Kuala Lumpur .

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, kedua-dua bekas pemimpin Umno iaitu pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mahathir dan Anwar cuba menimbulkan perpecahan di kalangan orang Melayu untuk mencapai agenda peribadi mereka  manakala penasihat DAP Kit Siang cuba merenggangkan hunungan di antara Melayu dan Cina.

Khairy berkata mereka harus memberi laluan kepada golongan muda dalam parti masing-masing mengambil alih.

“Beri kami (anak muda) peluang untuk bertanding dengan aman dan dalam persaingan yang sihat,” katanya, sambil menambah Umno harus mengadaptasi budaya 5C: clean, competent, compassionate, contemporary and competitive (bersih, kompeten, penuh belas kasihan, kontemporari dan berdaya saing) untuk menarik pengundi terutama daripada orang Melayu yang menjauhi parti itu.

“Mereka mahu melihat nilai, komitmen dan kecekapan kami. Ini adalah politik pasca-moden dan mereka mungkin tidak memerlukan apa-apa, tetapi kami memerlukannya.” - 9 Julai 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen