Di KL, francais makanan antarabangsa ditutup, outlet tempatan berkembang


Yap Pik Kuan

Tim Ho Wan antara restoran antarabangsa yang menutup rangkaiannya di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight, 8 Julai, 2017.

KUALA Lumpur, seperti ibu kota lain di Asia, selama ini menjadi lokasi tumpuan pelbagai rangkaian restoran antarabangsa menawarkan makanan Barat dan Asia.

Tetapi keadaan itu bakal berubah apabila restoran dim sum Tim Ho Wan milik Hong Kong menutup rangkaiannya di sini, sama seperti Bulgogi Brothers dan Tous Les Jours, rangkaian dari Korea Selatan.

Peningkatan kos dan perbelanjaan lebih ketat dalam ekonomi yang perlahan ditambah pemecahan pasaran dengan semakin banyak pusat beli-belah dibuka di Lembah Klang menjadi antara sebab rangkaian itu meninggalkan kawasan masyarakat bandar dan kaya di Malaysia itu.

“Industri makanan dan minuman di Malaysia memang selalunya mencabar dan ramalan pasaran mendapati keadaan akan menjadi teruk,” kata Alice Yong, pakar pemasaran makanan dan pengarah di syarikat perhubungan awam Wyse Communications.

“Banyak rangkaian makanan dan minuman serta restoran berhenti meluaskan perniagaan, menutup outlet yang tidak menguntungkan dan mengurangkan tenaga kerja.

“Dalam keadaan ekonomi yang sukar, perbelanjaan untuk pemasaran yang pertama dipotong dan kawalan kos lebih ketat dikuatkuasakan,” katanya.

Yong berkata alasan penutupan itu banyak berkait dengan kekurangan pemahaman rangkaian outlet luar negara terhadap corak perbelanjaan pengguna dan ekonomi di Malaysia, ditambah lagi dengan pemecahan pasaran.

“Banyak rangkaian luar negara atau francais masuk ke pasaran tempatan berfikir ia boleh berjaya seperti di Hong Kong atau Singapura.

“Lembah Klang kekal sasaran pasaran utama kerana masyarakat di sini mempunyai kuasa perbelanjaan tertinggi. Masalahnya ialah pelanggan berdasarkan kepada geografi kini terlalu luas dan berpecah,” katanya.

Y.P. Cheong yang menguruskan empat restoran menghidangkan makanan antarabangsa di Lembah Klang berkata peningkatan kos barangan berterusan menjadi ancaman terbesar industri itu.

“Saya rasa peningkatan kos lebih terus bila GST dilaksanakan. Kerana tidak semua boleh dituntut semula dan ia menjejaskan bajet perbelanjaan pengguna. Mereka lebih berhati-hati bila berbelanja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada April 2017, Indeks Harga Pengguna naik dalam tempoh lapan tahun pada 4.4%, dengan peningkatan 4.1% untuk makanan dan minuman tidak beralkohol, kedua tertinggi selepas pengangkutan (16.7%).

Ditambah dengan 6% cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2015, menyumbang kepada harga lebih tinggi untuk perniagaan dan pengguna.

Cheong mengakui penutupan francais asing membimbangkan kerana ia menunjukkan sentimen pelabur, tetapi hikmahnya ialah ia membuka pasaran makanan dan minuman tempatan untuk berkembang.

“Sekarang semakin banyak kedai tempatan yang menarik dikendalikan individu lebih muda sementara perniagaan lama jadi perlahan sedikit,” katanya.

Di sebalik landskap yang semakin mencabar itu, jenama tempatan seperti kedai ais krim Inside Scoop, kedai makanan Cina, Go Noodle House dan Uncle Don’s semakin berkembang dalam tempoh beberapa tahun ini.

Pemilik perniagaan lebih kecil juga mengembangkan outlet mereka. – 8 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen