Biro Tatanegara: Antara rasional dan kurang waras


Janji Yang Silap

SAYA menyedari isu berkaitan keputusan kerajaan PH mengekalkan institusi Biro Tatangera (BTN) yang diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri, telah menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak khususnya ahli-ahli PH.

Beberapa rakan mendakwa keputusan mengekalkan BTN adalah bercanggah dengan janji PH ketika Pilihan Raya Umum ke 14 baru-baru ini. Bagi saya hujah ini masih banyak ruang untuk dibahaskan, kita semua harus bersikap terbuka.

Selain daripada itu, ada lagi pandangan yang merasakan mengekalkan BTN sebagai langkah yang silap atas hujah BTN ini membiakkan sentimen perkauman khususnya bagi para pelajar baik diperingkat sekolah menengah hingga universiti.

Saya juga berpendapat yang sama iaitu hujah ini masih boleh dibincang dan dibahaskan dengan sihat.

Hujah yang mendakwa pengekalan BTN ini sebagai bercanggah dengan manifesto PH saya rasakan tidaklah begitu kukuh berdasarkan senario ketika PH belum lagi menjadi kerajaan.

Saya percaya ketika itu, parti mana pun akan sanggup menawarkan apa jua pakej untuk memenangi sokongan dan undi. Semua tahu, PH dan BN berada dalam keaadaan yang sangat terdesak ketika PRU 14. Mahu tidak mahu PH (termasuk BN) perlu menawarkan sesuatu yang luar biasa, antaranya PH akan memansuhkan agensi yang menjadi alat parti politik seperti BTN apabila menjadi kerajaan.

Justeru, saya berpendapat bukan keputusan mengekalkan BTN ini yang harus dipersoalkan tetapi keputusan memasukkan pemansuhan BTN dalam manifesto ketika itu yang harus dipersoalkan kembali.

Sama seperti janji 100 hari dan manifesto. PH cukup yakin akan dapat melaksanakannya dalam tempoh itu. Tetapi, apabila PH menjadi kerajaan, barulah kita semua tahu jumlah sebenar dana yang tersisa dalam kantung negara setelah ditinggalkan oleh regim Najib Razak. Jadi macam mana PH nak laksanakan manifesto?

Caranya ialah mengakui dan menjelaskan duduk cerita sebenar kepada rakyat jelata. Kita tidak boleh berbohong kepada rakyat dengan berpura-pura kita punya dana yang cukup untuk melaksanakan semua janji manifesto.

Dengan berpura-pura ada dana yang sebenarnya tidak ada, kita mungkin perlu meminjam pula untuk melaksanakan janji manifesto itu, adakah begitu yang kita semua mahukan? Tentu sekali tidak.

BTN Diseleweng

Dalam isu BTN ini, saya percaya seburuk mana pun rekod BTN ketika dibawah regim Najib Razak atau kerajaan sebelum-sebelumnya, agensi ini tidak bersalah. Yang bersalah adalah pelaksananya.

Penubuhan BTN ini asalnya cetusan idea dan inisiatif kerajaan pada tahun 70an untuk mewujudkan pusat penyelidikan belia dibawah kementerian Belia dan Sukan. Namun setelah itu, agensi ini dijenamakan menjadi Biro Tatanegara dan diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), hingga kini.

Jika kita kaji dan lihat baik dari aspek teknikal penubuhannya, dasar serta matlamatnya, ia tidak menyalahi perlembagaan negara. Tujuannya juga sangat jelas iaitu untuk memupuk semangat patriotisme dan identiti bangsa yakni (empowerment) di kalangan generasi muda (belia).

Malah pada satu ketika, ia dijadikan alat untuk menyampai dan memberi kefahaman terhadap dasar-dasar pembangunan negara, yang mana ‘dasar negara’ ini kemudiannya diasiosasikan sebagai dasar ‘parti Umno’ oleh pelaksananya.

Kita perlu akui bahawa fungsi dan peranan agensi ini telah diseleweng oleh kuasa-kuasa politik hingga menetaskan idea-idea perkauman dan perpecahan. Untuk rekod, saya sendiri pernah direkrut menerusi BTN sekitar awal 90an dan saya menyedari bahawa BTN ini adalah alat pemerintah yang diseleweng oleh kuasa politik yang terdiri daripada kelompok elit parti politik.

Jelasnya di sini, BTN sebagai sebuah agensi tidak mempunyai apa-apa dosa kepada rakyat mahupun generasi muda, ia hanyalah alat yang telah diselewengkan oleh orang-orang parti yang dekat dengan pemerintah ketika itu.

Justeru, saya merasakan isu sebenarnya bukan tentang kewujudan atau pembubaran agensi BTN tetapi sejauh manakah kerajaan reformasi PH ini mampu mereformasikan semua agensi kerajaan menjadi sebuah agensi yang telus, berintegriti dan profesional. Inilah cabaran sebenar reformasi sistem pentadbiran, bukan menentukan wujud atau mansuhnya BTN.

Jika kita sudi menyemak kembali. Hal yang sama berlaku dengan agensi seperti KWSP, Pejabat Peguam Negara, Tabung Haji, Felda dan pelbagai lagi. Adakah dengan penyelewengan oleh pelaksana agensi hingga menjadi aparatus parti politik, maka hari ini agensi-agensi ini harus dibubarkan oleh PH? Adakah ini logik?

Kita tahu dalam setiap belanjawan kerajaan, BTN antara agensi yang menerima peruntukan yang cukup besar. Bagi tahun 2017 sahaja perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi BTN sahaja mencecah RM 42 juta. Bagi tahun 2018, anggaran perbelanjaannya sekitar RM 41 juta.

Kita seharusnya mempersoalkan bagaimana dan kemana wang peruntukan dari cukai rakyat semua bangsa ini digunakan. Saya rasa ini lebih wajar untuk kita kaji dan bahaskan.

Tujuan hakiki reformasi itu sangat jelas iaitu menjadikan mana-mana agensi seperti BTN ini lebih dihormati oleh rakyat berdasarkan fungsi yang dilaksanakan dengan pengurusan yang professional dan cekap. Maka fungsi BTN ini perlu dikembalikan kepada asalnya.

BTN boleh menjadi jentera yang cekap dalam mencapai objektif rukunegara dan pembinaan siasah rupa bangsa Malaysia. BTN boleh menjadi wadah menyatukan anak semua bangsa demi mencapai maksud Negara Bangsa. Bukankah kita berkongsi maksud dan impian yang sama?

Kita mahu menjadi bangsa yang waras, tindakan dan sikap kita juga perlu waras. Jangan kerana kesilapan manifesto, maka kita harus ikut kesilapan itu. Kita ini rasional atau kurang waras?

Soalan paling penting, selepas ini BTN akan jadi apa?

Atau adakah dengan membubarkan BTN maka lojiknya matlamat reformasi telah berjaya dicapai?– 4 Julai, 2018

* Mahdzir Ibrahim merupakan ahli DAP.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • sokongan akan terus diberikan jika dengan pengekalan BTN ni mampu menghasilkan rakyat yang berintegrasi

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan